Johor Bahru -Seorang murid Tadika Kemas maut akibat van yang dinaikinya bersama lima rakannya yang lain terjunam ke dalam kolam kumbahan di Taman Universiti, Skudai hari ini.
Murid yang meninggal dalam kejadian 12.15 tengah hari itu dikenali sebagai Muhammad Azri Aqif Azhar, 4.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata, mangsa meninggal dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Taman Universiti.
Beliau berkata seorang daripada lima rakannya itu didapati kritikal manakala empat lagi cedera ringan.
Mereka ialah Nur Aima Razak, 5, Muhammad Hadif Syauqi Samsol Akamal, 5, Danial Asyraf Abdullah, 5, Danial Aiman Hakimi Md Gefri, 6, dan Sakinah Roslan, 5, yang kesemua mereka turut dibawa ke klinik berkenaan.
Mereka kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah sementara mayat Muhammad Azri dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya untuk dibedah siasat.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila van itu yang sedang menunggu untuk menaikkan murid-murid itu tiba-tiba menggelongsor dan merempuh pintu pusat kumbahan sebelum menjunam ke dalam kolam kumbahan," kata Mohd Khamsani.
Beliau berkata ketika itu pemandu van terbabit seorang wanita berusia 40-an sedang berada di luar kenderaan terbabit.
Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor