Maran - Tindakan pantas adik mengejutkan kakaknya yang sedang tidur telah menyelamatkan dua beradik itu dalam satu kejadian kebakaran di Felda Jengka 3 dekat sini, kira-kira jam 7 petang, kelmarin.
Kebakaran tersebut menyebabkan seorang tukang kebun sekolah lima beranak tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka hangus terbakar.
Anak kedua daripada lima beradik itu, Norsyamiera Mohd Zawawi, 15, berkata, sebaik dikejutkan adik bongsunya, Mohd Arash Hakim, 12, mereka berdua bergegas berlari keluar ke rumah jiran bagi memaklumkan kejadian tersebut.
Menurutnya, dia meminjam telefon bimbit jiran untuk menghubungi ibu yang keluar sebentar bersama ayah.
“Adik kejut dengan menggerakkan badan saya dan menjerit-jerit menunjukkan dinding bahagian belakang televisyen berasap.
“Tanpa berfikir panjang, saya berlari keluar memandangkan hanya kami berdua sahaja di rumah sementara abang sulung bermain badminton di dewan berdekatan.
“Ramai jiran cuba membantu memadamkan api yang semakin besar dengan paipair dan baldi namun api marak begitu cepat,” katanya.
Ibunya, Lyles Surani Saruani, 40, berkata, selepas mendapat panggilan daripada Norsyamiera, dia yang sememangnya dalam perjalanan pulang bersama suami, Mohd Zawawi Md Isa, 40, segera berbuat demikian.
Katanya, tiada apa yang mampu dilakukan untuk menyelamatkan harta benda kerana api marak menjilat rumah dengan pantas.
“Hanya istifar sahaja yang keluar dari mulut saya kerana tergamam menyaksikan dengan mata sendiri rumah pusaka mertua hangus terbakar.
“Namun saya bersyukur apabila anak-anak terselamat,” katanya ketika menerima kunjungan ziarah Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.
Seorang jiran mangsa, Mohd Anuar Mahusin, 65, berkata, dia yang sedang menonton berita di televisyen terkejut apabila terlihat kepulan asap dari bahagian tengah rumah mangsa.
Menurutnya, pelbagai usaha bersama jiran lain untuk cuba memadamkan api menggunakan getah paip tidak berjaya kerana api marak dengan cepat.
Sementara itu, Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pihak Felda Jengka 3 menyediakan penginapan sementara di rumah kakitangan kepada mangsa.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan keperluan kepada keluarga ini dan bantuan lanjut daripada Kerajaan Negeri menyusul kemudian,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor