Pages

Saturday, April 5, 2014

DIJEL KERANA SENGAJA CEDERAKAN ISTERI



Kuantan – Seorang mekanik dipenjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, semalam atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Tertuduh, Azanil Ismail, 44, dari Jalan Bukit Ubi, dekat sini, mengaku mencederakan isterinya, Sharifah Noorobbi Syed Mahmud, 47, dengan memukul menggunakan kerusi kayu almari solek sehingga menyebabkan 16 jahitan di bahagian dahi.

Dia melakukan kesalahan itu sekitar jam 8 malam, 30 Mac lepas di sebuah rumah beralamat nombor 5, Lorong 43, Jalan Bukit Ubi, Kuantan.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu ada bersama tertuduh di rumah mereka pada hari kejadian terdapat pertengkaran kecil yang berpunca apabila tertuduh tidak puas dengan isterinya yang asyik bermain dengan telefon bimbit.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang begitu marah telah memukul pengadu dengan menggunakan sebuah kerusi kayu almari solek mereka sehingga menerima jahitan.

Namun, di mahkamah juga tertuduh turut menyatakan kepada majistret, Noor Zaihan Mohamad Ali bahawa punca perbuatannya itu juga berikutan marah kerana isterinya turut meminta cerai daripadanya.

Dalam pada itu, mahkamah sempat memberi nasihat kepada tertuduh untuk belajar mengawal emosi sekiranya ada perasaan marah terhadap isteri sekiranya mereka masih ada peluang untuk bersama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor