Pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (dari kiri) Ngau Hui Hui, Wong Si Hui, Ng Ee Meng, Hoo Jan Wai, Tan Yan Ching, Wong Li Yee dan Zuriana Emielia Zulkafli (kanan) gembira selepas mengambil keputusan peperiksaan STPM Kuantan, semalam.
Kuantan - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar berjaya menjadi sekolah terbaik daerah ini selepas tujuh pelajarnya mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 yang diumumkan hari ini.
Lebih membanggakan lagi apabila salah seorang pelajarnya iaitu Hoo Jan Wai, 20, diumumkan sebagai calon terbaik STPM 2013 aliran Sains bagi negeri ini.
Pengetua SMK Sultan Abu Bakar, Rakiah Daud berkata, ini merupakan sejarah bagi sekolah ini kerana pertama kali tujuh pelajar sekali gus mendapat PNGK 4.0.
"Ini menjadikan sekolah ini sebagai sekolah terbaik daerah Kuantan bagi STPM 2013. Selain itu, daripada 220 pelajar seluruh negeri ini yang mendapat PNGK 3.0 ke atas, 72 orang adalah dari SMK Sultan Abu Bakar.
"Ini sesuatu yang amat membanggakan pihak sekolah dan berharap pada tahun ini kita dapat mengekalkan lagi rekod sebegini," katanya.
Sementara itu, Jan Wai berkata, kaedah belajar secara berkumpulan dan menumpukan sepenuhnya perhatian di dalam kelas menjadi kunci kepada kejayaannya dalam STPM.
Menurutnya, kaedah belajar secara berkumpulan ini memudahkan dia memahami mata pelajaran yang diambil meskipun sukar.
"Belajar secara berkumpulan membolehkan kita berbincang antara satu sama lain berhubung sesuatu topik secara mendalam dan menyelesaikan mana-mana bahagian yang tidak difahami," katanya.
Menurutnya, tumpuan yang diberikan semasa guru mengajar juga banyak membantunya memahami apa yang diajar, di samping segera bertanya guru jika ada yang kurang jelas.
"Terima kasih kepada guru-guru, keluarga dan Jabatan Pendidikan negeri yang banyak membantu saya dalam menimba ilmu," katanya yang ingin menyambung pelajaran dalam bidang Sains Aktuari.
Jan Wai berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam empat subjek iaitu Pengajian Am, Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor