Rompin – Penduduk Kampung Sungai Mengkuang, Endau, dekat sini digemparkan dengan penemuan satu objek kelihatan seperti sebiji bom oleh seorang penduduk ketika bersiar di pesisir pantai, dekat sini kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu.
Penduduk terbabit yang hanya dikenali sebagai Bedur, 40, berkata, dia terpaksa melupakan hasratnya untuk menikmati pemandangan laut ketika kejadian kerana ketakutan selepas melihat bom terbabit.
Menurutnya, ketika ditemui, ia seakan-akan sebiji bom yang terbenam dalam lumpur sebelum bertindak mengangkatnya lalu membawa ke pantai.
“Saya agak sangsi dengan objek berkenaan lalu mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan memaklumkan kepada ahli keluarga serta rakan.
“Saya ajak mereka ke lokasi untuk lihat sendiri objek tersebut bagi mengesahkan sama ada ia benar-benar bom atau sebaliknya,” katanya.
Seorang rakannya, Abdul Manaf Basir, 47, berkata, sebaik sahaja penduduk mengetahui tentang penemuan objek tersebut, mereka mula membanjiri lokasi kejadian dan memberikan pelbagai reaksi.
“Sekali imbas, objek berkenaan kelihatan seperti bom menyebabkan kami keliru namun tidak berani mengusiknya.
“Bagi mendapatkan kepastian, kami memaklumkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkepli Hashim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, objek dipercayai bom kosong (dummy bomb) yang digunakan untuk tujuan latihan itu dimusnahkan sepasukan anggota dari unit pemusnah bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada hari sama ia dilaporkan ditemui penduduk kampung.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor