Kota Bharu - Pengarah Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Kelantan Azran Deraman, rakan karib Sofuan Ibrahim iaitu seorang daripada 227 penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 12 hari lepas, percaya rakannya itu masih selamat.
Beliau yakin Sofuan, yang juga pegawai Miti, masih hidup dan akan pulang dengan selamat akhirnya.
"Bukan Sofuan sahaja, semua penumpang dan kru masih selamat. Saya berdoa ia menjadi kenyataan buat semua," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azran berkata Sofuan pernah bersamanya menjalani latihan untuk Pegawai Tadbir Diplomatik dan bertugas bersama di kementerian sebelum beliau bertukar ke Kelantan beberapa tahun lalu.
Beliau berkata Sofuan ke Beijing, China adalah kerana bertugas di sana dan sebelum ini telahpun beberapa kali menangguhkan pemergian ke sana.
Kali terakhir Azran bertemu Sofuan adalah kira-kira seminggu sebelum rakannya itu berlepas ke Beijing.
Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777-200ER membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam Jumaat.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor