Pages

Friday, March 28, 2014

MH370: CARI KOTAK HITAM DULU BAHARU FIKIR RCI ATAU PSC




Kuala Lumpur - Penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) hanya akan dipertimbangkan kerajaan sekiranya kotak hitam dalam pesawat MH370 ditemui.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara tersebut jelas memandangkan pada ketika ini kerajaan masih dalam misi mencari kotak hitam pesawat terbabit yang diberitakan lokasi terakhirnya adalah di selatan Lautan Hindi.

"Fokus kerajaan kini mencari kotak hitam pesawat yang merekodkan segala insiden dalam kokpit kapal terbang itu untuk membolehkan siasatan terperinci dijalankan," katanya di Parlimen, semalam.

Selain itu, katanya, pencarian kotak hitam di Lautan Hindi yang kini diketuai oleh Australia itu juga akan terganggu sekiranya Malaysia secara tiba-tiba menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden terbabit.

"Pencarian ini membabitkan semua pihak dan kita jangan terburu-buru dalam hal ini memandangkan bukti sebenar masih belum ditemui," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan sama menjelaskan insiden terhadap MH370 bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani selain melibatkan banyak pihak di dunia.

"Ini kepentingan dunia, apa yang dibangkitkan pembangkang hanyalah untuk kepentingan mereka," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menghangatkan sidang Dewan Rakyat apabila menggesa kerajaan supaya menubuhkan RCI atau PSC bagi menyiasat misteri kehilangan pesawat MH370.

Beliau turut menuntut kerajaan supaya lebih efektif terutamanya dalam memberikan jawapan yang rasional berkenaan insiden terbabit.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor