Pages

Tuesday, March 4, 2014

MB PAHANG ALU-ALUKAN MOU AIR DENGAN SELANGOR

Oleh Amir Rozaini


Kuantan – Sambil mengalu-alukan menanda-tangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor bagi melaksanakan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2), Selangor yang telah lama tertangguh, kerajaan Pahang meminta dipertimbangkan agar ia turut diberikan ekuti tertentu dalam syarikat yang bakal ditubuhkan untuk menguruskan operasi rawatan air dan membekalkannya dari LRAL2 kelak.

“Sayapun telah menyatakan di beberapa forum dan kita akan (lakukan) ‘follow-up’, kita akan jual air mentah tetapi pada ketika yang sama, mungkin kita juga perlukan sikit-sebanyak kerjasama dari pihak yang berkenaan, untuk memberikan kita ekuiti dalam syarikat yang merawat dan juga menjual air.

“Kita perlukan juga sikit. Takkanlah, 10 sen satu meter padu (sahaja, bagi membekal air mentah)? 10 sen satu meter padu yang akan mendatangkan hasil lebih kurang RM70 ke RM80 juta setahun, tak banyak tu.

“Kita bayar gajipun (untuk kakitangan kerajaan) lebih dari itu,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Penghargaan Projek Pemodenan Lesen Perniagaan peringkat negeri, tengah hari Isnin, 3 Mac di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai MoU yang telah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor berkaitan Penstrukuran Semula Industri Bekalan Air Selangor pada Rabu, 26 Februari lepas.

Dengan MoU itu antara lain dipersetujui bahawa Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran untuk merancang pembinaan LRAL2 serta sistem agihannya berkuatkuasa tarikh itu, serta memastikan semua kelulusan dan kebenaran berkaitan pembangunan LRAL2 hendaklah diluluskan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh yang sama.

Dalam pada itupun, Dato’ Sri DiRaja Adnan akur betapa; “Yang pentingnya, kita mengalu-alukan langkah Kerajaan Selangor dengan Kerajaan Persekutuan, bersama-sama menandatangani MoU dan perjanjian itu.

“Ini memudahkan lagi proses kita menyalurkan air (mentah kira-kira 1.69 juta meter padu sehari) dari Sungai Semantan (serta empangan) ke Sungai Langat, melalui terowong bawah tanah Karak-Kuala Langat.

“Dan ini baik untuk rakyat Selangor. Di Selangorpun, bukan semua orang Selangor. Orang Pahang, orang Kelantanpun ramai (menetap) di Selangor. Dan sekarang ini, krisis air sangat memuncak di sana. Kalau ada projek (Loji Rawatan Air) Langat 2 ini (yang sepatutnya dipersetujukan sejak dahulu), masalah tak timbul,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor