KUALA LIPIS - Masyarakat Islam diminta merujuk al-Quran sebagai panduan hidup termasuk menangani perbezaan pandangan untuk mengelakkan pertelagahan yang boleh membantutkan agenda pembangunan negara.
Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, jika wujud perbezaan fahaman perlulah kembali kepada al-Quran dan hadis untuk mencari penyelesaian agar hubungan kembali kondusif dan kekuatan umat Islam disegani pihak lain.
Menurutnya, pertelagahan sesama Islam wujud di negara lain jelas menunjukkan umat Islam masih tidak mengikut landasan Islam iaitu menggalakkan solidariti dan sifat kasih sayang sesama agama.
“Falsafah al-Quran jelas memaparkan peraturan ruang lingkup kehidupan yang boleh menyatukan masyarakat dan menjana pembangunan yang terbukti bermula zaman Nabi Muhamad S.A.W dan sahabatnya sehinggalah tamadun Islam di Tanah Arab dan berkembang Eropah.
“Jika kita menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam apa juga perkara terutama soal kepimpinan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara, maka saya yakin kita akan menjadi umat yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis dan penyampaian kepada pemenang Tilawah Al-Quran Peringkat daerah Lipis 2014 di sini semalam.
Hadir sama, Kadi Daerah Lipis, Abu Bakar Ismail.
Mustapa turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Tilawah al-Quran peringkat Lipis, iaitu johan lelaki, Hassan Basri Ahmad, dan johan bahagian wanita, Hanisah Dilu.
Menurut beliau, sehingga kini, al-Quran menjadi panduan bagi umat Islam di negara ini dalam semua urusan pentadbiran kerajaan menerusi agenda transformasi dalam pengurusan sektor ekonomi, kewangan, pendidikan, sosial dan bidang lain.
Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Mustapa berharap lebih ramai qari dan qariah menyertai tilawah al-Quran peringkat daerah ini pada masa akan datang agar entiti Islam mampu dipertahankan serta dapat menyemarakkan majlis ilmu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor