Mentakab – Kerajaan negeri akan membangunkan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) antara yang pertama di daerah ini di Kampung Bukit Lada, dan Kampung Benum, Kerdau dalam kawasan berkeluasan 40 hektar.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan Tugas-tugas Khas negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, projek tersebut yang berkeluasan 20 hektar di setiap kampung adalah termasuk dalam pelan jangka masa panjang pembangunan Dun Kerdau.
Menurutnya, tujuan dibina apabila permintaan terhadap rumah mampu milik di kawasan itu meningkat selain untuk memberi peluang kepada penduduk setempat memiliki rumah sendiri.
“Projek ini adalah sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang untuk Dun Kerdau, kerajaan telah bersetuju meluluskan tanah berkeluasan 40 hektar di dua kampung untuk tujuan ini.
“PR1MA Dun Kerdau masih di peringkat memperhalus pelan pembangunan dan belum ada pemaju yang dilantik tetapi pada dasarnya kerajaan negeri menerusi mesyuarat Exco telah meluluskan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata sewaktu berucap pada perasmian pasukan dan pengenalan jersi bola sepak pasukan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).
Syed Ibrahim berkata, antara lain pelan pembangunan jangka panjang di Kerdau ialah menaik taraf Tahfiz Kerdau dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (MUIP) serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Beliau berkata, Maahad Tahfiz itu sebenarnya sudah ada tetapi memerlukan sokongan daripada kerajaan untuk menguruskannya dengan lebih baik.
“Kami melihat keperluan sebuah maahad tahfiz yang lebih baik kerana permintaan sangat menggalakkan selain untuk meningkatkan modal insan yang cemerlang,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Syed Ibrahim beri penghargaan penglibatan PPSPPA dalam membantu perkembangan sukan melalui pembentukan pasukan bola sepak.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor