Pages

Saturday, February 15, 2014

RAZALI SARAN PENDUDUK KAJANG TUNTUT PENJELASAN JANJI PEMBANGKANG PADA PRU13





MUAR, 15 Feb -- Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Razali Ibrahim menyarankan penduduk Kajang menjadikan pilihan raya kecil kawasan itu sebagai platform mendapatkan penjelasan daripada pembangkang mengenai janji mereka semasa pilihan raya umum ke-13.

Katanya mereka juga boleh bertanya mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyelesaikan pelbagai isu termasuk masalah denggi dan bekalan air.

Sekarang apa yang dilakukan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah menuding jari kepada kerajaan pusat, seolah-olah PKR dan sekutunya pihak pembangkang di Selangor bukan pemerintah, katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Muar, di sini malam semalam.

"Yang menjadi pembangkang ialah Barisan Nasional (BN), yang dia berkelakuan seperti pembangkang itu pasal apa," kata Anggota Parlimen Muar itu yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Razali menyifatkan tindakan Anwar itu hanya untuk mengelirukan rakyat dan melepaskan diri daripada tanggungjawab dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit di Selangor.

"Kalaupun tidak mahu berbincang dengan kerajaan pusat tidak apa, tetapi jangan jadikan kempen pilihan raya kecil Kajang sebagai gelanggang mengutuk kerajaan pusat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Razali berkata BN tidak akan menghukum pengundi Cina yang tidak menyokong BN dalam pilihan raya umum lepas.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan BN tetap memberi pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang akan dilancar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Feb ini.

Dalam majlis sama, Razali turut mengumumkan peruntukan RM120,000 kepada 38 cawangan MCA di kawasan parlimen itu.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor