Kuantan 25 Feb - Kerajaan Pahang akan mengadakan siri Jelajah Informasi Keusahawanan ke seluruh negeri ini dalam usaha memberi pendedahan mengenai bantuan yang disediakan kerajaan terhadap golongan usahawan dan peniaga.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang Datuk Shahirudin Ab Moin berkata, majlis pelancaran sesi jelajah selama enam bulan itu akan diadakan pada 12 Mac depan di Kompleks Yayasan Pahang di sini.
Program di bawah kendalian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu akan disertai 40 agensi dan jabatan persekutuan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Koperasi Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, Selasa.
Turut hadir, Naib Canselor UMP Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.
Shahirudin berkata semua agensi dan jabatan berkenaan, terlibat dengan penyaluran bantuan keusahawanan seperti geran, latihan serta pinjaman.
"Berdasarkan maklumat yang diterima, masih ramai usahawan mahupun peniaga kecil-kecilan, sederhana ataupun besar tidak menyedari kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan.
"Kita berharap melalui siri penerangan ini, ia dapat menyalurkan maklumat mengenai bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan dalam membantu golongan peniaga," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor