Pages

Monday, January 27, 2014

KERAJAAN LANCARKAN OPERASI BANTERAS KENAIKAN HARGA BARANG


BENTONG - Kerajaan bertegas tiada kompromi didalam membanteras peningkatan harga barangan keperluan. Justeru itu operasi bersepadu melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi penguat kuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dilaksanakan di seluruh negeri ini bagi memantau harga barangan.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, operasi itu yang turut melibatkan polis dan agensi penguatkuasaan lain akan dilaksanakan secara berterusan, tidak terhad semasa sambutan perayaan sahaja.

"Bagi kerajaan negeri, kita akan melaksanakan operasi melibatkan pelbagai pihak termasuklah parti politik, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), persatuan pengguna, polis dan sebagainya yang akan memakai uniform masing-masing, tidak terhad kepada anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK).

"Cara ini lebih berkesan dan rakyat lebih seronok melihat seluruh agensi berada di merata-rata tempat bagi memantau harga barangan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan hari pertama Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Pasar Besar Bentong dan pasar raya di sini.

Sebanyak 13 barangan ditetapkan sebagai barangan kawalan sempena perayaan Tahun Baharu Cina berkuatkuasa hari ini sehingga 9 Februari ini.

Kerajaan sentiasa mengambil berat dan berusaha memastikan harga barangan terkawal serta tidak membebankan pengguna. Sehubungan itu beliau berharap pengguna juga turut memainkan peranan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat peniaga yang ingkar dengan peraturan ditetapkan.

"Kita tidak akan memberi ruang kepada peniaga dan pemborong supaya mereka tahu bahawa pengguna perlu diberi pembelaan secara berterusan," katanya. Pada masa yang sama, beliau memberitahu, bermula 1 Januari lalu sehingga semalam, sebanyak 14,325 premis perniagaan diperiksa oleh penguat kuasa PPDNKK di seluruh negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 61 premis perniagaan dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan melibatkan rampasan barangan bernilai RM30,000.

"Sebanyak RM5,500 kompaun dikenakan terhadap peniaga terbabit di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor