BENTONG - Untuk mengurangkan kesesakan lalulintas, Konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Anih Berhad akan memberhentikan kerja penyelenggaraan lebuh raya bermula dari Gombak ke Jabor sepanjang tempoh dua minggu sempena perayaan Tahun Baru Cina ini.
Pengarah Anih Berhad, Ir Wan Razali Wan Muda berkata, tempoh dua minggu itu bermula dari 24 Januari hingga 7 Februari 2014.
"Jumlah kenderaan dijangka meningkat kepada 50 peratus berbanding purata harian iaitu 140,000. Justeru itu langkah tersebut diambil bagi memastikan aliran trafik lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Bentong dekat sini.
Majlis dirasmikan oleh wakil Ahli Parlimen Bentong, Datuk Hoh Khai Mun merangkap Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Pahang.
Turut hadir Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Muhammad Shahid Ismail dan Pengarah Hospital Bentong, Datuk Dr Chandra Sekanan Raman.
Wan Razali berkata, pihaknya juga akan menambahkan bilangan kakitangan di plaza tol sebanyak 15 peratus menjadikan keseluruhan 350 orang.
Selain itu, waktu operasi untuk menambah nilai kad Touch & Go dan smart tag di empat plaza tol iaitu Bentong, Karak, Temerloh dan Kuantan juga akan dilanjutkan.
“Waktu operasi akan bermula jam 8.30 pagi hingga 10.30 malam pada 27 Januari hingga 3 Februari. Selain itu, lorong tunai tambahan juga akan dibuka untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol.” katanya.
Wan Razali berkata, pasukan LPT Ronda juga membuat pengawasan 24 jam sepanjang laluan dari Gombak ke Jabor untuk memberi bantuan kepada pengguna yang berdepan masalah.
Katanya, pihaknya juga mengeluarkan jadual perjalanan supaya pengguna lebuhraya dapat merancang perjalanan mereka.
“Pihaknya berharap menerusi usaha yang dijalankan itu diharap dapat memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya untuk pulang bercuti. Dalam masa sama, menerusi kempen yang dijalankan diharap dapat meningkatkan kesedaran pengguna supaya berhati-hati di jalan raya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor