Pages

Saturday, December 21, 2013

KERAJAAN NEGERI PAHANG SERIUS BANTERAS RASUAH


KUANTAN - Sebanyak 11 badan berkanun kerajaan negeri menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan tahap tadbir urus yang baik dan membanteras aktiviti rasuah.

Badan berkanun tersebut ialah Yayasan Pahang (YP), Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC), Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Amanah Saham Pahang dan Perbadanan Perpustakaan Awam.

Turut menandatangani ikrar itu ialah Lembaga Muzium Negeri Pahang, Lembaga Pembangunan Tioman, Perbadanan Stadium Darul Makmur, Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip).

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri sememangnya mengamalkan polisi terbuka dan sentiasa telus kepada mana-mana pihak seperti SPRM untuk melakukan pemantauan terhadap prosedur operasi dilaksanakan.

"Jadi dengan adanya majlis hari ini, menjadi bukti jelas bahawa kerajaan negeri tegas dalam membanteras amalan rasuah," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani CIP Badan Berkanun Kerajaan negeri Bersama SPRM di Kompleks Yayasan Pahang di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan.

Menurut Adnan, langkah menandatangani ikrar adalah sesuatu yang baik kerana perbuatan rasuah boleh dicegah melalui kesedaran.

"Kita perlu menerapkan nilai-nilai murni kepada kakitangan badan berkanun supaya tidak mengambil rasuah.

"Saya harap ikrar ini dapat dihayati sepenuhnya oleh mereka dalam meningkatkan tahap tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Sementara itu, Sutinah berkata, langkah tersebut merupakan satu manifestasi sokongan organisasi berkenaan kepada usaha suruhanjaya tersebut membanteras gejala rasuah.

"CIP adalah satu komitmen dan ikrar terbuka agensi serta syarikat swasta untuk memerangi rasuah selain memperkukuhkan integriti organisasi masing-masing," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor