Pages

Sunday, November 24, 2013

JENGKA SENTRAL MULAKAN OPERASI


MARAN - Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Jengka Sentral yang dibina dengan kos kira-kira RM10 juta mula beroperasi sepenuhnya awal bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, sepatutnya Jengka Sentral dibuka sebelum Hari Raya Aidiladha lalu, tetapi ditunda berikutan terdapat kerosakan kecil di bahagian bumbung akibat ribut.

Katanya, pembukaan Jengka Sentral secara tidak langsung mengalu-alukan kehadiran tetamu dari seluruh negara sempena majlis konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang di sini baru-baru ini.

"Projek pembinaan Jengka Sentral yang bermula 1 Ogos 2011 diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan pada Julai 2011.

"Terminal pengangkutan bersepadu Jengka Sental itu kini menjadi mercu tanda baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka sekali gus menjadi kebanggaan warga Jengka.

"Kompleks ini akan menjadi nadi perhubungan pengangkutan awam penduduk Bandar Tun Abdul Razak Jengka untuk ke bandar lain di seluruh negara dengan lebih cepat dan efisien," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambah beliau, stesen bas dan teksi sementara di sini juga telah ditutup sebaik sahaja Jengka Sentral beroperasi.

Menurut beliau, peniaga di kompleks itu yang terdiri daripada peniaga asal dan penduduk tempatan juga telah melalui situasi baharu yang lebih berdaya saing.

Wan Salman berkata, projek yang dilaksanakan itu adalah manifestasi kepada keikhlasan Perdana Menteri untuk mentransformasikan Bandar Tun Abdul Razak selari dengan kepesatan negara.

Katanya, Jengka Sentral yang mempunyai reka bentuk menarik seperti kapal angkasa itu menjadi pintu masuk utama ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka membabitkan orang ramai termasuk lebih 10,000 warga UiTM Jengka.

"Lebih menarik satu lagi projek besar yang telah memulakan pelaksanaannya pada 1 April tahun ini ialah Kompleks Sukan atau Stadium Felda bernilai RM87.9 juta yang dijangka siap pada 31 Mac 2015," ujarnya.

Jelas beliau, Stadium Felda di Bandar Tun Abdul Razak Jengka sangat ditunggu-tunggu warga Felda kerana merupakan satu kebanggaan untuk mereka dapat memiliki stadium sendiri.

2 comments:

  1. Bilalah Temerloh nak ada mcm ni, Temerloh daerah yg paling dipinggirkan..

    ReplyDelete
  2. TAHNIAH...SEMOGA KEMUDAHAN DIMANAFAATKAN...ADA JG KENA MENGENA SIKIT2 DGN PROJEK MEGA JENGKA NI...

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor