Pages

Sunday, November 24, 2013

AIR HUJAN - IDEA LAMA TEKNOLOJI BARU ?


Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan memperkenalkan sistem penuaian air hujan di semua kediaman penduduk dalam usaha menjimatkan penggunaan air seterusnya mengatasi krisis bekalan air negara pada masa hadapan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sistem itu merupakan satu daripada amalan hijau yang boleh diamalkan penduduk di negara ini bagi mengurangkan kadar penggunaan air di rumah masing-masing.

"Buat masa ini, sistem tersebut masih dalam peringkat percubaan yang dilakukan di bangunan di Putrajaya dan selepas ini kita akan cadangkan diperluas ke bangunan kerajaan dan masjid," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Pengurusan Jenazah Mengikut Mazhab Shafie di Masjid Muadzam Shah di sini semalam.

Kursus itu dihadiri oleh 189 peserta terdiri daripada kariah masjid di seluruh daerah ini.

Kata Mahdzir, sistem itu hanya memerlukan pengguna menakung air hujan dan menggunakannya untuk kegunaan membersih seperti mencuci kereta dan menyiram pokok bunga.

"Air hujan ini juga boleh disalurkan terus ke tandas dan digunakan untuk tujuan pembersihan termasuk mengepam tandas," ujarnya.

Bagi tujuan itu, kata beliau, kementerian akan mengadakan program-program kesedaran untuk memperkenalkan sistem tersebut kepada seluruh masyarakat tidak lama lagi.

"Yayasan Hijau yang baru diluluskan dalam Bajet 2014 akan membantu dalam usaha meningkatkan amalan hijau dalam kalangan masyarakat termasuk dari segi penjimatan air," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor