Pages

Friday, September 27, 2013

KOS TINGGI PINDAH GAJAH


KUANTAN -  Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri memerlukan perbelanjaan lebih RM45,000 bagi setiap operasi menangkap dan memindahkan seekor gajah.

Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff berkata, pihaknya terpaksa menyediakan peruntukan besar setiap tahun bagi mengatasi ancaman gajah di negeri ini yang sentiasa bertambah disebabkan beberapa faktor seperti pembukaan hutan.

Menurutnya, kos berkenaan akan bertambah sekiranya lokasi operasi terbabit terletak jauh di dalam hutan dan berbukit yang memerlukan aktiviti membersih termasuk membuat jalan menggunakan jentera.

“Perhilitan tidak mungkin mampu memenuhi kehendak masyarakat terutama pekebun yang inginkan semua gajah ditangkap dan dipindahkan bagi mengelak kemusnahan seterusnya kerugian kepada mereka.

“Selain kekangan kewangan semakin bertambah, beberapa faktor lain seperti bentuk muka bumi dan lokasi yang jauh di dalam hutan juga turut menjadi penghalang utama kepada operasi menangkap,” katanya.

Khairiah berkata, pihaknya berharap masyarakat dapat memahami situasi yang dihadapi Perhilitan dan setiap operasi tidak semestinya berakhir dengan tangkapan.

“Pada keadaan tertentu kumpulan gajah hanya dihalau masuk ke kawasan hutan berhampiran.

“Kini serangan gajah kini lebih tertumpu di daerah ini, Jerantut, Lipis, Raub dan Temerloh. Dalam tempoh lapan bulan tahun ini Perhilitan berjaya menangkap dan memindahkan tiga gajah dewasa,” katanya.

Mengulas ancaman gajah di Sungai Lembing, di sini, Khairiah berkata, kini terdapat enam hingga lapan gajah berkeliaran dan memusnahkan ladang serta kebun buah-buahan penduduk setempat sejak seminggu lalu.

Katanya, ancaman gajah di kawasan Sungai Lembing berlaku sejak beberapa tahun lalu selepas aktiviti pembukaan hutan berlaku, dua ekor berjaya ditangkap dan dipindahkan tahun lalu dan Mei lalu.

“Perhilitan akan mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen, Adun dan penduduk kampung bagi mencari jalan penyelesaian membendung ancaman gajah yang memusnahkan kebun buah-buahan masyarakat setempat.

“Pandangan serta cadangan semua pihak akan diambil kira sebelum sebarang tindakan dilakukan terutama membabitkan operasi menghalau dan menangkap haiwan berkenaan yang kini semakin ganas dengan merosakkan pokok buah-buahan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan dengan Ahli Parlimen dan Adun diperlukan bagi mendapatkan keputusan membabitkan berkaitan perbelanjaan untuk menjalankan operasi menangkap dan memindahkan haiwan terbabit.

“Kita hanya akan menangkap satu atau dua ekor gajah sahaja iaitu ketua kumpulan, saya yakin sekiranya operasi terbabit berjaya masalah berkaitan haiwan berkenaan dapat diselesaikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor