KUALA LUMPUR - Cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kewujudan serta tindak tanduk tentera siber pembangkang, Red Bean Army (RBA) akan dibawa ke Kabinet, Jumaat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam melalui satu memorandum yang diserahkan kepada beliau hari ini.
Menurut beliau, kerajaan bersifat terbuka dan sedia menimbang kewajaran penubuhan suruhanjaya itu selepas dibincangkan dalam Kabinet.
"Pada pandangan kumpulan yang mewakili 130 NGO itu, mereka mendakwa Red Bean Army sangat berbahaya jika dibiarkan berterusan tanpa penguatkuasaan.
"Selain banyak laporan polis telah dibuat terhadap tentera siber ini, mereka turut mendakwa RBA menerima sumbangan besar daripada pembangkang untuk menjalankan kegiatan mereka," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini.
Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan dan memanipulasi fakta bukan sahaja untuk menyerang Barisan Nasional (BN), malah sesiapa sahaja yang menyokong parti itu.
Pasukan berkenaan yang berpangkalan di sebuah hotel di ibu negara dan juga di pejabat Komtar, Pulau Pinang akan menyerang serta menakut-nakutkan sesiapa sahaja yang menyatakan perkara buruk tentang DAP dan pakatan pembangkang.
Red Bean Army juga didakwa memainkan peranan memanipulasi sentimen kaum Cina untuk menolak calon-calon Melayu daripada BN yang bertanding dalam PRU-13 lalu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau mengetahui tentang kewujudan Red Bean Army walaupun pendedahan tentang tentera siber pembangkang itu dibuat oleh bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula seolah-olah cuba menutup kaitan parti itu dengan pergerakan Red Bean Army dan mengalih isu sebenar dengan mengecam Utusan Malaysia kononnya mengaitkan isu tersebut dengan sentimen perkauman.
Terdahulu, Shahidan menerima memorandum tersebut daripada Presiden Kelab Wartawan Muda, Dzulkarnain Taib yang mewakili gabungan NGO itu.
Memorandum tersebut menyatakan tuntutan kepada kerajaan bagi menyiasat secara mendalam dan terperinci peranan RBA menyerang institusi-institusi negara melalui media sosial supaya dilihat kerajaan dilihat lemah di mata rakyat.
Bantahan tersebut sebagai mengelak perpecahan masyarakat pelbagai kaum yang hidup harmoni di negara ini.
Sementara itu, mengulas perkembangan lain, Shahidan menjelaskan kandungan bahan kimia silver nitrat dalam dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum ke -13 lalu adalah di bawah satu peratus.
"Kita telah merujuk kepada Kementerian Kesihatan dan mengguna pakai apa yang ditentukan kerana jika guna lebih akan memudaratkan kesihatan.
"Bagaimanapun, saya akan mengulas isu ini dalam sidang akhbar esok," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor