Pages

Thursday, July 18, 2013

POLIS BENTONG LUPUS PELBAGAI JENIS DADAH


BENTONG - Pelbagai jenis dadah yang dirampas dari 2000 hingga 2009 dilupuskan di Padang Lapang Sasar, Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kesemua dadah itu merupakan barang kes yang berjaya diselesaikan dan mendapat kebenaran dari mahkamah untuk dilupuskan.

Katanya, proses pembakaran dipilih untuk melupuskan semua barangan kes dalam tempoh itu.

“Antara yang dimusnahkan adalah heroin (276.5 gram), ganja (319.7 gram), syabu (68 gram), ketamin (108 gram) dan daun ketum sebanyak 16 kilogram.

“Selain itu, pil subzone sebanyak 1,232 biji, ekstasi (76 biji), eramin 5 (941 biji) dan 184 liter ubat batuk,” katanya.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Yap Toon Khuan dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bentong, Asisten Superintendan Sakri Yusoff@Zahari.

Mohamad Mansor berkata, semua jenis dadah itu dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun hasil risikan polis kira-kira jam 3.15 petang kelmarin di Karak kerana memiliki dadah.

Katanya, sebanyak 30 kecil paket dadah dipercayai jenis heroin seberat 91.8 gram dan 1 paket dadah jenis syabu seberat 0.6 gram ditemui.

“Anggaran harga pasaran dadah ialah RM3,500. Dadah yang dirampas adalah untuk jualan sekitar kawasan itu.

“Suspek ditahan reman sehingga 23 Julai untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor