Pages

Wednesday, July 10, 2013

HENTIKAN BUDAYA DEMONSTRASI



KUANTAN - Budaya demonstrasi jalanan jika terus diamalkan oleh parti-parti politik di negara ini dibimbangi akan menyebabkan pergaduhan antara penyokong masing-masing dan seterusnya menyebabkan pertumpahan darah.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara sedemikian tidak mustahil akan berlaku melalui perbuatan provokasi yang dilakukan oleh penyokong parti politik yang terlibat.

"Jika dahulu sewaktu di sekolah kita selalu diingatkan oleh guru soal perpaduan kaum yang perlu kita jaga kerana bimbang akan berlaku pergaduhan kerana apabila berlaku tercetuslah peristiwa seperti tragedi 13 Mei 1969.

"Apa yang hendak saya sebut adalah jika budaya demonstrasi jalanan diteruskan, tidak mustahil akan berlaku sekali lagi pertumpahan darah, bukan antara kaum tetapi antara penyokong parti politik.

"Perkara ini (demonstrasi jalanan) jika berlaku dalam keadaan terlampau besar adalah sukar untuk dikawal, jadi perkara sebegini perlu kita sama-sama elakkan," katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang sini hari ini.

Sementara itu Adnan berkata, semua pihak khususnya pemimpin politik seharusnya menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan hati terbuka dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

"Soal dapat dua pertiga atau tidak, tidak timbul kerana dalam dunia moden sekarang apabila semua orang terpelajar, anak muda didedahkan dengan kemudahan teknologi maka tidak ada kerajaan dalam dunia ini yang boleh begitu mudah untuk mendapat kuasa dua pertiga dalam Parlimen," katanya.

Beliau berkata, semua pihak terutama pemimpin politik juga tidak seharusnya mempertikai kebebasan pilihan raya di negara ini.

Menurutnya, apa yang telah ditetapkan dan diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya diterima dengan baik.

"Kalau kita hanya tahu mempertikai kebebasan pilihan raya, kenapa masih masuk bertanding dan kalau benar-benar SPR tidak telus mana mungkin Barisan Nasional (BN) kalah di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor