Pages

Saturday, July 13, 2013

HARGA AYAM PERMAINAN POLITIK DAP


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak kemungkinan berlaku manipulasi harga oleh peruncit yang menyebabkan harga ayam naik secara mendadak sehingga RM9 sekilogram sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana semakan harga di ladang oleh pihaknya menunjukkan harga tidak banyak berubah iaitu sekitar RM5 sekilogram, manakala bekalan di pasaran pula mencukupi.

"Tapi yang saya dengar harga ayam telah naik sehingga RM8.50 ke RM9 dan saya khuatir ada pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, harga siling di pasaran yang ditetapkan kementerian masih pada RM7.80 bagi setiap kilogram.

Beliau diminta mengulas kenaikan harga ayam yang dikesan berlaku secara mendadak di kebanyakan negeri dalam tempoh dua minggu ini.

Katanya, permintaan terhadap ayam pada hari-hari biasa ialah 1.2 juta ekor namun meningkat kepada 2.2 hingga 2.4 juta ekor sehari pada bulan Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan telah membuka permit import ayam bulat bagi menangani isu itu dan secara teorinya lambakan ayam di pasaran akan menurunkan harga barang berkenaan.

Dua bulan lepas memang berlaku peningkatan permintaan terhadap ayam tempatan apabila China menghentikan eksport poltri susulan penularan wabak H7N9, namun wabak telah berakhir dan pengimport kembali membawa masuk ayam dari negara itu, katanya.

Sidang media itu diadakan bagi menghebahkan Tekun Nasional memenangi Anugerah 'Best Innovation in Financial Services' pada satu majlis di Karlsruhe, Jerman. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor