Pages
▼
Monday, June 24, 2013
RAKYAT LEBIH BIJAK MENILAI
KEGAGALAN pihak pembangkang yang sekali lagi cuba menegakkan benang basah dengan mengheret rakyat menyertai perhimpunan haram Blackout 505 ternyata memalukan diri sendiri. Dari jangkaan 500,000 rakyat akan berhimpun akhirnya pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa masalah jerebu menjadi punca kegagalan tersebut.
Sekurang-kurangnya buat kesekian kalinya Anwar menyalahkan masalah cuaca berbanding UMNO dan BN yang sering menjadi sasarannya setiap kali masalah berlaku.
Kegagalan ini juga menunjukkan rakyat semakin bijak menilai daripada terpengaruh dengan dakwaan kerajaan memerintah Barisan Nasional (BN) bersekongkol dengan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) menipu pada pilihan raya lepas.
Bagi Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST), PROFESOR DR. CHANDRA MUZAFFAR, Anwar bijak bermain psikologi dan persepsi dalam menarik rakyat menuding jari kepada kerajaan apabila keputusan pilihan raya menunjukkan sebaliknya.
Rakyat perlu sedar Anwar sedang mengerah tenaga mereka untuk mencapai impiannya menjadi Perdana Menteri terutama melalui perhimpunan sebegini
Bagaimana Dr. melihat kecenderungan pihak pembangkang melakukan demonstrasi di negara ini?
CHANDRA: Pada hemat saya pihak pembangkang sebenarnya tidak ada isu dan asas yang kukuh untuk mengadakan perhimpunan haram Himpunan Blackout 505 seperti yang berlaku hari ini . Mereka hanya lebih kepada mereka-reka sebab dan alasan yang kita semua sudah maklum ia sebenarnya tidak berlaku. Mereka menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya tidak adil dan tidak telus. Mereka memberitahu rakyat malah seluruh dunia bahawa berlakunya penipuan pada PRU-13 lalu tetapi mereka gagal menunjukkan bukti, malah tidak membuat aduan rasmi kepada SPR. Mereka kata macam-macam tetapi tidak pula persoalkan kemenangan mereka di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang melalui pilihan raya sama. Kini mereka ajak rakyat berdemonstrasi dan mahu negara luar terutamanya Barat campur tangan dan mereka akan dapat apa yang mereka mahu melalui cara ini. Mereka tidak kisah langsung tentang keamanan dan kemakmuran negara.
Pihak pembangkang semakin agresif membakar sentimen penyokong mereka terutama selepas pilihan raya lepas dengan meminta mereka melakukan bantahan berterusan terhadap keputusan pilihan raya umum lalu termasuk mengadakan demonstrasi. Pembangkang tidak sedar jika negara kucar-kacir dan porak-peranda, bukan sahaja rakyat yang menanggung azabnya malah mereka juga turut terheret sama. Bukankah lebih baik mereka terima sahaja keputusan yang dibuat rakyat dan daripada mencari salah pihak lain dan mereka-reka semata-mata mahu lari daripada kenyataan.
Bagaimanapun perhimpunan kali ini gagal mencapai matlamat mereka dan hanya sedikit yang hadir. Apa pandangan Dr.
CHANDRA: Keadaan ini tidak mengejutkan kerana mungkin rakyat secara umumnya sudah bosan dengan perhimpunan demi perhimpunan yang dianjurkan kerana ia sebenarnya tidak membawa apa-apa makna dan kebaikan. Jika isu yang dibawa ada kebenarannya mungkin rakyat akan menyertainya tetapi sudah jelas tidak timbul sebarang isu kerana tidak ada apa-apa pembohongan dalam soal pilihan raya seperti yang didakwa Anwar dan rakan-rakannya dalam pembangkang. Dalam sesuatu perhimpunan, jika isu dan fokus yang mahu ditunjukkan adalah benar dan membina kita bersetuju tetapi jika ia hanya menjadi sebagai medan untuk mengelirukan rakyat terbanyak yang mahu hidup dalam suasanan aman, damai dan harmoni bersama keluarga, sudah tentu ia tidak perlu.
Jika kita berhimpun hanya untuk menggalakkan keganasan, bergaduh dan bersikap kurang ajar serta keterlaluan ia adalah seperti kita menyalahgunakan konsep hak yang diberikan ini. Oleh itu kegagalan ini umpama satu lagi episod hitam bagi pembangkang kerana sudah kalah dalam pilihan raya dan kini gagal pula menghimpun penyokong dalam perhimpunan Blackout 505. Mungkin apabila rakyat sudah sedar siapa yang berbohong pengaruh Anwar dan pembangkang akan susut sedikit demi sedikit kerana rakyat sudah lebih bijak menilai siapa yang benar dan siapa berbohong.
Ada pihak yang menyatakan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak demokratik tetapi jika dibandingkan dengan Turki misalnya kerajaan dan pihak berkuasanya bertindak lebih ganas terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram?
CHANDRA: Memang saya bersetuju bahawa tindakan pihak berkuasa semakin baik selepas undang-undang tentang perhimpunan haram diperkenalkan. Jika kita lihat di Turki malah di Brazil pun, pihak berkuasa mereka bertindak secara agresif dengan menggunakan water canon, gas pemedih mata malah ada yang memukul mereka yang terlibat dalam perhimpunan atau dalam kata lain menggunakan kekerasan. Itu adalah perbezaan yang paling ketara antara pihak berkuasa kita dan Turki malah di negara-negara lain juga. Dalam hal ini pihak berkuasa kita bertindak masih dalam memenuhi batasan-batasan yang dibenarkan.
Pihak berkuasa kita sangat profesional dan tidak bertindak mengikut emosi dan seharusnya pujian diberikan kepada pihak berkuasa kita yang berjaya mengawal diri dari bertindak mengikut landasan yang dibenarkan. Selain itu keadaan ini juga menunjukkan bahawa pihak berkuasa malah kerajaan sekarang sangat mementingkan demokrasi jika hendak dibandingkan dengan Turki dan beberapa negara lain di dunia. Bagaimanapun perkara dan usaha ini langsung tidak dihargai oleh pihak pembangkang malah berterusan mengajak rakyat berhimpun dan berdemonstrasi yang akhirnya menyusahkan semua pihak termasuk warga kota yang mempunyai pelbagai perancangan hari ini bersama keluarga masing-masing.
Pihak pembangkang terutama Anwar sendiri begitu mengidolakan Turki dan kepimpinannya tetapi dalam hal perhimpunan haram terdapat perbezaan ketara dalam bagaimana kerajaan Malaysia dan Turki bertindak. Apa pandangan Dr.?
CHANDRA: Kita sebenarnya lebih demokratik kalau mahu dibandingkan dengan Turki malah Brazil dalam hal ini. Saya sememangnya tidak bersetuju sama sekali bahawa Turki adalah sebuah negara yang demokratik berbanding Malaysia kerana pertamanya pemerintahan di negara ini lebih bersifat civilian. Tentera walaupun tidak lagi memainkan peranan seperti dahulu sebelum tahun 2001, tetapi pengaruh dan peranannya mereka masih ketara dan kekal sebagai pelaku politik utama di Turki.
Ini tidak berlaku di Malaysia yang mana tentera bersifat berkecuali. Dalam hal ini jelas terdapat perbezaan ketara dalam bagaimana pihak berkuasa di negara ini menangani isu perhimpunan haram berbanding Turki. Jelas bahawa pihak berkuasa bertindak begitu tegas malah adakalanya keterlaluan sehingga memukul mereka yang berhimpun. Di Turki penunjuk perasaan dihadapi dengan keras sehingga ada yang cedera. Pihak keselamatan di Malaysia tidak melakukan tindakan sedemikian terhadap mereka yang menyertai demonstrasi. Malangnya sehingga kini Anwar tidak mengutuk apa yang berlaku di Turki walaupun gas pemedih mata digunakan untuk menyurai peserta demonstrasi.
Pada pandangan Dr. apakah seakan-akan sudah menjadi satu trend kepada pembangkang untuk meluahkan perasaan tidak puas hati dengan mengadakan perhimpunan haram? Perlukah semua ini dilakukan atau mereka sebenarnya hanya mahu menegakkan benang basah?
CHANDRA: Kerajaan tidak menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman kerana itu adalah hak rakyat. Tetapi apakah keperluan sebenar dan isu yang cuba dibangkitkan itu relevan atau tidak atau mereka sengaja mereka-reka isu untuk meneruskan momentum sokongan dan kebencian terhadap kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat dalam pilihan raya. Dalam satu hal rakyat kini lebih maklum tentang hak mereka tetapi ramai antara mereka yang sebenarnya masih keliru hak yang bagaimana dalam demokrasi yang boleh digunakan dan bukannya menerima semua hak hanya kerana alasan demokrasi. Apakah kita perlu membenarkan orang berbogel misalnya atau hak-hak lain yang tidak berasas hanya kerana demokrasi membenarkannya.
Begitu juga dalam perhimpunan, jika isu dan fokus yang mahu ditunjukkan adalah benar dan membina kita bersetuju. Tetapi jika ia hanya menjadi sebagai medan untuk mengelirukan rakyat terbanyak yang mahu hidup dalam suasanan aman, damai dan harmoni bersama keluarga, sudah tentu ia tidak perlu. Jika kita berhimpun hanya untuk menggalakkan keganasan, bergaduh dan bersikap kurang ajar serta keterlaluan ia adalah seperti kita menyalahgunakan konsep hak yang diberikan ini. Kita perlu setuju bahawa hak berhimpun secara aman itu adalah perlu untuk rakyat. Tetapi dalam konteks perhimpunan hari ini adalah tidak berasas dan lebih kepada menyalahguna.
Mereka mendakwa wujud 40,000 warga Bangladesh, berlaku kejadian bekalan elektrik terputus dan sebagainya yang terbukti satu pembohongan semata-mata, sudah tentu ia umpama menipu rakyat dan penyokong mereka sendiri dengan membuat dan menyebar cerita palsu. Bagaimana kita harus membenarkan sesuatu yang hak seperti perhimpunan ini hanya untuk menyebar dan mengelirukan orang ramai dengan dakwaan kepalsuan.
Namun sebenarnya masih ramai yang terpengaruh dengan dakwaan yang disebarkan pembangkang ini?
CHANDRA: Dalam perkara ini Anwar tahu bahawa melalui kelompongan demokrasi inilah beliau menggunakan pendekatan untuk mengelirukan rakyat dengan menggunakan pembohongan kononnya berlaku penipuan besar-besaran semasa pilihan raya. Ekoran itu, rakyat yang termakan hasutan telah menyertai perhimpunan hari ini dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan walaupun cara tersebut adalah tidak demokratik dan tidak mengikut undang-undang negara.
Anwar sebenarnya mahu menjadikan negara ini seperti Mesir yang berjaya menukar kerajaan sedia ada melalui perhimpunan. Ini adalah satu-satunya taktik untuk beliau menjadi Perdana Menteri dengan segera setelah beliau gagal meraih sokongan rakyat melalui peti undi. Anwar bijak bermain psikologi dan persepsi dalam menarik rakyat menuding jari kepada kerajaan apabila keputusan pilihan raya menunjukkan sebaliknya. Rakyat perlu sedar Anwar sedang mengerah tenaga mereka untuk mencapai impiannya menjadi Perdana Menteri terutama melalui perhimpunan sebegini.
Mungkin kebimbangan lebih utama adalah terdapat pihak yang bertindak ganas dan melakukan provokasi?
CHANDRA: Ini adalah sebahagian dari usaha mereka untuk menimbulkan provokasi kepada pihak berkuasa dan kemudian apabila polis bertindak untuk mengawal keadaan rakaman dan kelakuan yang berlaku akan dirakam dan kemudian cuba menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa kerajaan dan pihak berkuasa adalah kejam dan zalim. Pembangkang sememangnya telah mempergunakan perhimpunan sebegini untuk mengancam, mengutuk dan mencemarkan imej parti pemerintah serta menabur fitnah seperti kemasukan pengundi Bangladesh, isu bekalan elektrik terputus dan sebagainya untuk menarik perhatian media antarabangsa.
Taktik sebegini sebenarnya telah digunakan Anwar dan pembangkang sejak sekian lama kerana tujuan utamanya adalah untuk meraih simpati dan sokongan media dan pihak antarabangsa bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang kejam, tidak demokratik, menipu pada pilihan raya dan sebagainya. Pembangkang akan melakukan apa juga dan pembohongan bagi menunjukkan mereka mendapat sokongan rakyat dan ia akan diterjemahkan oleh media antarabangsa bahawa tindakan pembangkang ini mendapat sokongan dari rakyat dan selain media dan masyarakat antarabangsa.
2 comments:
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor
Koi letih dengan pembangkang yang bangang..tolonglah maju kedepan..
ReplyDeletenk wat camana, dah lembu tu lembu jugalah. Kat Pahang ni ibu lembunya adalah Fuziah danm bapak lembunya adalah Fauzi..
ReplyDelete