Pages

Wednesday, May 8, 2013

Pengundi Melayu Masih Bersama BN


Kekalahan calon MCA di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini kemungkinan disebabkan sokongan kaum Cina kepada calon DAP dan Pas.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, bagaimanapun pengundi Melayu terus menunjukkan sokongan kepada BN apabila parti komponen itu berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum kali ini.

Beliau menambah, proses pilihan raya umum itu menunjukkan amalan demokrasi di negara ini masih subur dan perlu dikekalkan.

"Namun, pembentukan kerajaan negeri akan difikirkan kemudian," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kerusi Parlimen Bentong dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai mempertahankan kedudukan dengan memperoleh 25,947 undi menewaskan calon DAP, Wong Tack, 25,568 undi dengan majoriti tipis 379 undi.

Bagi DUN Pelangai, Adnan yang juga Menteri Besar mempertahankan kerusi tersebut dengan memperoleh 6,245 undi menewaskan Abdul Hamid Bahatim daripada Pas, 3,770 undi.

Kerusi DUN Bilut, Ketari dan Sabai dimenangi oleh Chow Yu Hui, Lee Chin Chen dan D. Kamache yang kesemuanya daripada DAP.

Dalam pada itu, Tiong Lai yang menang tipis kepada calon DAP berjanji akan terus memberikan khidmat terbaiknya kepada rakyat.

"Saya akan pastikan kerajaan Pusat membawa pembangunan di Bentong. DAP telah memainkan isu sensitif sehingga meningkatkan semangat pengundi Cina," katanya.

Beliau berkata, MCA Pahang akan melakukan bedah siasat mengenai punca kekalahan parti itu di Parlimen dan DUN di negeri ini.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor