Pages
▼
Tuesday, April 30, 2013
Pembangkang Memang Zalim
BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA - Pada awalnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di kawasan Dun Jengka dijangka berlangsung dengan bersih, namun kini terdapat tangan-tangan 'syaitan' cuba mencemarkan perjalanan kempen PRU di sini.
Timbalan Pengerusi Logistik dan Peralatan BN Dun Jengka, Mohd Azman Mohd Tahar berkata, jentera Barisan Nasional (BN) dikejutkan dengan kejadian replika kereta kebal dibina mereka, dibakar menggunakan bom petrol sekitar jam 1.45 pagi kelmarin.
Menurutnya, kejadian itu hanya disedari mereka setelah menerima panggilan telefon daripada orang awam.
“Saya menerima panggilan telefon daripada orang awam memberitahu replika kereta kebal kami bina, dibakar seseorang.
“Apabila sampai, api masih lagi membakar bendera digunakan untuk membina replika ini. Lalu, kami memadamnya menggunakan lebihan air daripada botol mineral terdapat di sekitar kawasan itu,” katanya.
Setiausaha Bilik Gerakan Dun Jengka, Mohammad Razali Mamat pula berkata, tinjauan mereka di sekitar kawasan itu mendapati, replika tersebut dibakar menggunakan bom petrol buatan sendiri.
“Kami tidak tahu sama ada mereka menaiki motosikal atau kereta, malah tidak mengetahui dalang perbuatan ini memandangkan kami hanya menerima aduan daripada orang awam.
“Kerja membina replika ini bermula sejak awal penamaan calon lagi. Ia siap sepenuhnya sekitar jam 12.30 tengah malam hari sama sebelum dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab pada jam 1.45 pagi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Gerak Gempur Pemuda Dun Jengka, Hillmi Mohamed berkata, mereka sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Kita tidak mahu menuduh sesiapa. Sekiranya itu kerja pembangkang, kita harap mereka mengawal anak buah masing-masing daripada terus bertindak sedemikian. Kita juga harap kempen PRU ini berlangsung dengan lebih berhemah bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.
Bagi Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Nadi Kota, Othman Abdul Hamid pula, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku di bandar ini.
“Belum pernah berlaku kejadian sebegini, malah PRU kali ini memperlihatkan beberapa kejadian kurang enak berlaku. Saya harap perkara sama tidak berlaku lagi selepas ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor