Pages
▼
Friday, March 29, 2013
Usah Biarkan Minda Dijajah Media Pembangkang
USIA pasukan polis dari zaman penjajah pada tahun 1807 hingga kini ia dikenali sebagai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjangkau 206 tahun. Lebih dari dua abad, dan ini menunjukkan kematangannya sebagai sebuah pasukan yang dibentuk dengan fokus menjaga keamanan dalam negara dan pesisir pantai.
Cabaran terbaharu wira kita kini adalah mereka diduga dengan serangan pengganas yang mengaku datang menuntut hak milik nenek moyang mereka.
Betapa sebuah negeri yang kita panggil negeri di bawah bayu sejak kita lahir, dan ia adalah Sabah sebuah negeri berdaulat dalam negara Malaysia yang merdeka, tiba-tiba kita mahu mengatakan bahawa ia bukan milik kita semata-mata kerana seorang raja yang menganggap sejarah boleh ditafsir menurut kefahamannya dan undang- undang menyebelahinya dengan bantuan pencacai-pencacai antarabangsa yang sememangnya dengki dan tidak suka melihat rantau sebelah Asia Tenggara kekal aman hingga ekonominya digeruni blok Barat.
Janganlah kita dijajah lagi dari segi teknologi perhubungan dan gajet moden sebagaimana penjajahan fizikal dan minda oleh Barat dan Jepun satu masa dahulu. Dunia globalisasi yang diperkenal oleh Barat melalui teknologi perhubungan dan komunikasi (ICT) menyebabkan segala perkara yang tidak terfikir oleh kita telah terjadi hari ini.
Cabaran kemodenan perlu didepani oleh PDRM dengan meningkatkan kualiti dan peralatan para anggota sejajar dengan kemajuan yang menggila dalam bidang tersebut.
Penjajahan bentuk baru ini perlu ditangani dengan penuh istiqamah oleh PDRM bukan setakat menjadi sebahagian dari pengguna teknologi malahan menjadi pakar dalam bidang tersebut setaraf pakar dari luar negara.
Hari ini serangan terhadap PDRM dan kedaulatan negara bukan setakat serangan di Lahad Datu dan Semporna malahan seluruh negara melalui teknologi ICT yang dimainkan oleh juak-juak penjajah antarabangsa.
Kita berasa sedih apabila ada pihak yang menggunakan laman-laman blog untuk menghina anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai wira dalam perang olok-olok atau sandiwara drama semata-mata. Apa yang menyedihkan yang ditembak bukan setakat cedera malahan kehilangan nyawa dan tidak akan kembali lagi dan dapat menjawab tuduhan sandiwara tersebut.
Sesungguhnya tindakan terhadap pihak terbabit di mahkamah suatu tindakan yang tepat dan kena pada masanya. Anggota PDRM berjuang dengan penuh iltizam dan sanggup mengorbankan nyawa di dalam hutan rimba. Tiada kompromi, tiada jalan untuk tawar- menawar sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak tertentu kepada pengganas tersebut.
Rakyat Malaysia di seluruh negara bernama Malaysia ini, fikirkanlah siapa yang akan untung jika Sabah ditawan dan dirampas secara haram oleh pengganas dari selatan Filipina tersebut.
Apa yang lebih menerbitkan perasaan amarah rakyat Malaysia yang bijak pandai apabila Jamilul Kiram mahu pula menyaman kerajaan Malaysia RM77.8 bilion kerana kononnya mengambil Sabah dan membangunkannya secara tidak sah. Bukankah itu suatu tindakan yang pelik?
Di mana Kiram yang mengaku sebagai pemilik Sabah apabila rakyat Sabah diserang oleh pengganas komunis di Kalabakan? Di mana beliau apabila rakyat Sabah dilanda ribut Greg hingga ramai yang maut dilanda banjir besar? Di mana dia apabila rakyat Malaysia dan asing diculik oleh kumpulan Militan Abu Sayyaf.
Bukankah kerajaan negeri Sabah yang merupakan sebahagian Malaysia yang menyelesaikan segala masalah yang berbangkit itu semua. Mengapa setelah berpuluh-puluh tahun Sabah sudah semakin maju dan semakin naik sebagai negeri pelancongan maka baru ada yang mahu mengambil-alih kuasa.
Selama ini keselamatan Sabah dijaga dengan jaya oleh rakyatnya yang juga warganegara Malaysia dan setelah serangan melanda dari pihak Kiram pasukan PDRM yang sama mempertahankannya.
Mengapa tidak Kiram persoalkan kepada dirinya sendiri, adakah wajar dirinya menerima sagu hati RM5,300 bertahun-tahun sedangkan ia pampasan bersifat belas kasihan. Beginikah caranya membalas budi orang lain. Diberi duit dibalas peluru hingga membunuh rakyat negara ini.
Justeru, kita perlu berhati-hati dengan agenda mengejut Kiram yang sudah pasti ada dalang di belakangnya. Siasat dalang tersebut sehingga ke lubang cacing, jika ia warganegara Malaysia pastikan hukuman mati dikenakan kepada pengkhianat negara ini.
Rakyat Malaysia berada dalam keadaan yang sangat beremosi apabila pembangkang sehingga artikel ini ditulis semakin galak mengatakan serangan di Sabah adalah sandiwara.
Isteri kehilangan suami, anak kehilangan bapa angkara dalang yang berkiblatkan untung dunia hingga melupakan hari penentuan satu hari nanti. Anggota PDRM dan ATM yang meninggal dunia dalam tragedi Lahad Datu dan Semporna sesungguhnya pengorbanan anda semua akan dikenang selamanya.
Kepada rakyat Malaysia nilaikan siapa dalang insiden Lahad Datu. Tolaklah mereka apabila ada kesempatan.
Janganlah pemikiran kita dijajah lagi dengan laporan laman sosial dan media baharu pembangkang yang penuh fitnah, adu domba dan penipuan. Sabah milik Malaysia dan orang Sabah adalah orang Malaysia. - Sumber
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor