Pages
▼
Thursday, March 28, 2013
PR1MA Perlu Diperluas Ke Seluruh daerah
KUANTAN - Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membina 20,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di tiga kawasan utama di negeri ini iaitu bandar Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar.
Presiden MBNP, Khairul Amin Osman berkata, tawaran itu sangat realistik ketika harga rumah semakin meningkat, namun kerajaan masih berusaha merealisasikan impian agar setiap golongan memiliki rumah tanpa sebarang halangan.
"PR1MA ini akan dapat memenuhi permintaan golongan muda di negeri ini untuk memiliki rumah yang merupakan harta paling bernilai. Setakat ini, statistik Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri menunjukkan sebanyak 40,000 permintaan terhadap rumah kos rendah," katanya.
Perdana Menteri ketika berucap dalam siri terakhir Jelajah Janji Ditepati (JJD) di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini Sabtu lalu, mengumumkan pembinaan 20,000 unit rumah PR1MA di negeri ini.
Projek tersebut merupakan sebuah pembangunan bersepadu untuk menampung keperluan perumahan mampu milik bagi penduduk di tiga kawasan utama iaitu bandar Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar.
Khairul Amin berkata, setiap rakyat terutama golongan belia mesti merebut peluang ditawarkan untuk memiliki kediaman sendiri.
"Cuma apa yang kita harapkan lebih banyak rumah ini akan dibina, bukan sahaja di Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar, malah kalau boleh perumahan ini perlu dibina di setiap daerah di negeri ini. Ini bagi membolehkan golongan belia yang berada di seluruh daerah di negeri ini berpeluang untuk memiliki rumah pada harga murah dan berpatutan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor