Pages

Tuesday, January 15, 2013

KR1M Akan Diperluaskan


Kerajaan negeri berhasrat membuka lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk memberi peluang kepada semua penduduk menikmati kemudahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Fong Koong Fuee berkata, sehingga kini terdapat 10 KR1M di Pahang yang menawarkan harga barangan antara 10 hingga 60 peratus lebih rendah berbanding kedai runcit lain.

Sehubungan itu, beliau berharap syarikat Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) yang diamanahkan menjalankan operasi kedai tersebut, dapat membuka cawangan KR1M di beberapa daerah seperti Bentong dan Cameron Highlands.

“Setakat ini, terdapat sebanyak 350 barang berjenama KR1M yang dibungkus semula dalam kuantiti yang lebih kecil.

“Kaedah itu membolehkan pengguna berpendapatan rendah membeli-belah mengikut kemampuan dan keperluan mereka,” katanya selepas merasmikan KR1M di Bandar Baru Kuala Lipis, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Jerantut, Che Hanafi Mamat; Ketua Balai Bomba Lipis, Che Ismail Ngah dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ibrahim Shariff.

Koong Fuee yang juga Adun Cheka berkata, pembukaan KR1M di negeri ini melegakan pengguna di samping dapat mengawal inflasi dan mengekang kenaikan harga barang.

Menurutnya, keutamaan penjenamaan produk di bawah KR1M diberikan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) bertujuan membantu mereka meningkatkan hasil jualan untuk bersaing di pasaran runcit lebih moden.

“Inilah bukti janji ditepati di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berusaha untuk membantu orang ramai selaras dengan gagasan 1Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor