Pages
▼
Tuesday, January 15, 2013
Dinasti Lim Bakal Digulingkan
DI samping 'drama' salah kira undi dalam pemilihan jawatankuasa DAP pusat (CEC) baru-baru ini, juga tidak kurang hangatnya berkisar isu menjatuhkan kepimpinan Lim Guan Eng di Pulau Pinang.
Agak mengejutkan, namun itulah realitinya. Ini apabila terdapat dakwaan yang agak sukar disangkal bahawa terdapat satu 'konspirasi' untuk menjatuhkan Ketua Menteri itu daripada terus menjawat jawatan tersebut pada penggal depan. Percaturan itu dirancang andai kata DAP terus menerajui negeri tersebut.
Cuma, apa yang lebih memeranjatkan ialah konspirasi tersebut dikatakan didalangi seorang pemimpin tertinggi DAP. Dan dibantu oleh sekumpulan akar umbi yang juga merupakan puak penyokong yang tidak begitu menggemari cara negeri tersebut ditadbir dan cara parti DAP dikuasai oleh anak beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Kehadiran 'puak' ini juga telah lama disedari oleh 'dinasti Lim' namun pelbagai cara telah dilakukan oleh mereka untuk menghindari mereka secara perlahan. Tetapi yang peliknya kumpulan ini semakin lama semakin 'membesar'.
Kemuncak kemarahan kumpulan ini terserlah apabila seminggu sebelum Kongres Kebangsaan DAP Ke-16 baru-baru ini di Pulau Pinang, beberapa kain rentang serta risalah dipertontonkan kepada warga Pulau Pinang dan perwakilan DAP yang hadir ke kongres tersebut.
Terdapat khabar angin mengatakan 'pemimpin tertinggi DAP' tersebut telah mengetahui rancangan untuk menjatuhkannya.
Justeru, dia terlebih dahulu dengan lebih pantas bertindak memulakan propaganda untuk menjatuhkan kebanyakan calon pilihan Dinasti Lim.
Jika dilihat daripada persekitaran Pisa di Bayan Baru, Georgetown, kebanyakan kain rentang serta risalah-risalah yang diedarkan berkaitan strategi untuk menjatuhkan dan memburukkan calon-calon pilihan 'dinasti Lim' serta memainkan sentimen perkelahian antara kem yang tidak menyokong dinasti itu.
Saranan '1 Kerusi 1 Calon' daripada gesaan Pengerusi DAP, Karpal Singh sendiri yang telah dinaikkan di kawasan tersebut menunjukkan senarai calon-calon pemilihan CEC DAP yang menyandang dua kerusi, Parlimen dan juga DUN.
Kain rentang tersebut juga menyebut jawatan mereka serta jumlah wang yang diterima sebagai 'gaji' jawatan mereka.
Satu lagi kain rentang yang dinaikkan di sekitar kawasan Bayan Baru turut memaparkan DAP yang dikatakan parti berbilang kaum. Tetapi penguasaan sebenar adalah daripada kalangan kaum Cina seramai 24 orang manakala kaum India hanya lima orang dan Melayu seorang.
Sekali lagi ini bertujuan untuk 'menyerang' Dinasti Lim yang dikatakan hendak memastikan keahlian CEC DAP terdiri daripada kaum Cina sahaja.
Satu lagi kain rentang dipasang di sekitar Komtar juga bermaksud untuk 'menyerang' Guan Eng yang merupakan anak kelahiran Melaka tetapi bercita-cita besar, sehingga mencalonkan diri menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Walaupun sentimen itu telah lama disenyapkan, namun kumpulan terbabit dengan licik mengaturkannya kembali agar ahli DAP Pulau Pinang kembali mempersoalkan jawatan yang sedang disandang oleh Lim Guan Eng.
Ketika penulis menghubungi bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim, beliau turut melahirkan rasa kurang hairan bagaimana Guan Eng yang bukan anak jati Pulau Pinang, tiba-tiba dengan mudah jawatan Ketua Menteri diberikan kepadanya.
"Saya pernah dihidangkan dengan cerita-cerita yang kurang sedap didengar oleh pemimpin-pemimpin DAP yang 'pernah' rapat dengan saya satu ketika dahalu.
"Saya diberitahu, DAP tidak pernah termimpi akan berjaya mendapatkan sebuah negeri untuk ditadbir, keadaan ketika itu agak haru-biru dan kelam-kabut. Ketika perbincangan 'panas' sedang berjalan, dengan tiba-tiba sahaja Guan Eng bangun membuat keputusan.
"Beliau mencadangkan namanya sendiri memandangkan ketika itu beliau memegang jawatan Setiausaha Agung DAP dan melayakkan diri sendiri menjadi Ketua Menteri.
"Semua orang terkejut tetapi hanya mendiamkan diri sahaja. Itu yang saya dengar," katanya.
Namun beliau bertegas, adalah lebih bermoral dan betul andainya seorang anak jati yang selama ini telah bekerja begitu keras terutamanya sebelum pilihan raya umum 2008 dilantik menjadi Ketua Menteri.
Individu yang disebut-sebut itu ialah Pengerusi DAP Pulau Pinang sekarang, Chow Kon Yeow. Tetapi beliau bukan seorang yang dianggap seperti 'payung terjun'.
Rakyat di Pulau Pinang juga dikatakan tidak begitu gembira dengan cara negeri itu diterajui terutamanya oleh seorang pemimpin yang dianggap 'berlebihan'. Pada mereka, Guan Eng yang pada awalnya begitu mesra rakyat dan prihatin, dalam tempoh kebelakangan ini nampak banyak 'berubah'.
Mereka menganggap Guan Eng lebih berminat untuk berpolitik daripada ambil peduli kebajikan rakyat. Gaya beliau juga lebih gemar menyalahkan semua orang, kerajaan terdahulu serta media arus perdana daripada 'menilik' kesalahan sendiri.
Rakyat Pulau Pinang sudah semakin celik dan bijak membuat pernilaian mereka sendiri. Sebab-sebab ini turut membantu kumpulan 'anti dinasti Lim' untuk terus bertindak menjatuhkan beliau.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor