Pages

Tuesday, September 4, 2012

Pembangkang Mahu Mencetus Suasana Tidak Aman


KUALA LIPIS - UMNO Bahagian Lipis kesal dengan tindakan pembangkang memainkan isu bahan kimia sianida yang dikatakan membahayakan kesihatan menerusi Himpunan Hijau di Raub hari ini bagi menarik sokongan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, cara mereka memainkan isu bahan kimia itu jelas menunjukkan pembangkang sudah kehabisan idea untuk mengaburi rakyat kerana isu Lynas yang diuar-uarkan tahun lalu tidak mendapat perhatian rakyat.

Menurutnya, kajian Pejabat Kesihatan Daerah Raub di Kampung Bukit Koman selepas operasi kilang Raub Australian Gold Mining (RAGM) beroperasi pada 2009 membuktikan tidak berlaku sebarang senario luar biasa ke atas penduduk di situ seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang sendiri.

"Cara mereka menyebarkan risalah bergambar memaparkan impak bahan kimia sianida terhadap kulit dan komplikasi kesihatan tertentu merupakan penipuan besar untuk mengaburi fikiran rakyat sekali gus memperlekeh usaha kerajaan negeri membangunkan ekonomi daerah itu.

"Wakil rakyat pembangkang di kawasan berkenaan pernah diasak dengan soalan untuk membuktikan gejala akibat bahan kimia berkenaan setiap kali persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, tetapi gagal mengemukakan bukti malah tidak tahu hendak memberi jawapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Kemerdekaan Ke-55 di Benta, dekat.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengangkutan dan Pertumbuhan Negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak dan Setiausaha UMNO Bahagian Lipis, Ishak Mohamad.

Menurut Abdul Rahman, cara pembangkang memutarbelitkan isu bahan sianida dengan mengeksploit gambar pesakit dari sebuah kepulauan di negara jiran juga seolah-olah memperlekeh usaha program kesihatan kerajaan negara berkenaan.

"Lagipun visual yang dipaparkan dalam risalah itu merupakan gambar penduduk di tempat lain dan saya yakin penyakit kulit berkenaan bukanlah berpunca daripada bahan kimia sianida," katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku berkata, tindakan itu hanya menunjukkan sikap pemimpin pembangkang yang tidak jujur dan kotor dalam permainan politik untuk meraih sokongan lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum nanti.

"Saya berharap pihak berkuasa menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak dan menyekat pengedaran risalah seumpama ini pada masa akan datang yang bertujuan mengaburi minda rakyat," katanya.

Sementara itu, Mohd. Soffi berkata, penduduk Bukit Koman tidak perlu bimbang kerana pemantauan Jabatan Kesihatan dilakukan secara berterusan untuk memastikan keselamatan semua pihak.

"Sejak RAGM beroperasi semula pada 2009 yang mengunakan bahan sianida dalam kerja memproses emas, ia membawa rahmat peluang ekonomi penduduk tempatan malah tidak ada penduduk di situ dilaporkan mengalami komplikasi penyakit kulit," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor