Pages
▼
Tuesday, September 4, 2012
Jangan Biarkan Mereka Terlepas
PAPARAN gambar seorang wanita dan seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta aksi memualkan sekumpulan remaja ketika demonstrasi Bersih pada 30 Ogos lalu yang dipaparkan oleh Mingguan Malaysia telah mendapat perhatian ramai.
Apa yang paling membimbangkan banyak pihak ialah keberanian sekumpulan pemuda mengibarkan bendera merah putih yang menyerupai bendera Singapura dan Indonesia.
Mereka bertindak sedemikian bagi menolak Jalur Gemilang yang selama ini menjadi lambang kedaulatan dan maruah serta martabat rakyat dan negara ini.
Justeru persoalan yang bermain di fikiran kita ialah apakah perbuatan biadab dan melampaui batas ini akan dibiarkan begitu sahaja?
Penulis tidak berhasrat mewujudkan perasaan perkauman tetapi apa yang benar-benar kita terkilan ialah tindakan seorang wanita bertudung labuh yang hanya tersenyum melihat seorang gadis memijak gambar Perdana Menteri.
Wanita berkenaan seolah-olah seronok kerana wajah pemimpin yang mungkin 'musuh politiknya' dilakukan sedemikian rupa!
Apakah itu dipanggil kebebasan? Apakah itu dinamakan demokrasi? Apakah itu dianggap cara untuk melakukan bantahan?
Penulis percaya tindakan biadab peserta-peserta demonstrasi 'Janji Bersih' berkenaan akan membangkitkan kemarahan seluruh rakyat negara ini yang cintakan kedamaian dan mempunyai nilai tata susila yang tinggi.
Tetapi soalnya apakah kemarahan boleh memastikan perbuatan biadab itu tidak berulang lagi?
Ketika inilah tumpuan diberikan kepada pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk bertindak dan bukan sekadar mengeluh apatah lagi memberi amaran.
Keberanian luar biasa yang ditunjukkan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan tidak harus biarkan berterusan.
Kita harus ingat ini bukanlah kali pertama rakyat negara ini dipaksa menyaksikan adegan memualkan oleh puak-puak yang kononnya memperjuangkan demokrasi.
Demokrasi apa yang hendak diperjuangkan kalau tingkah laku sendiri menunjukkan betapa rendahnya moral kelompok berkenaan.
Begitu juga apabila mereka mengibarkan bendera merah putih, ia adalah satu perbuatan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah menyambut kemerdekaan negara.
Mana mungkin ketika negara ini sedang meraikan kemerdekaan, kita membiarkan sekelompok manusia biadab mencemarinya dengan satu perbuatan yang dianggap sudah melampaui batas.
Jangan lupa suatu ketika dulu pihak berkuasa pernah mengambil tindakan terhadap sekelompok pemuda di Terengganu yang membakar Jalur Gemilang, tetapi perbuatan mengibarkan bendera merah putih kononnya sebagai pengganti kepada Jalur Gemilang lebih biadab dan bahaya.
Ini bermakna sudah ada satu keberanian di kalangan sesetengah generasi muda untuk mencabar undang-undang dan kedaulatan negara.
Perbuatan kelompok berkenaan tidak harus dibalas dengan hujah politik sahaja, mereka tidak harus dikategorikan sebagai golongan yang harus dipujuk untuk menyokong kerajaan sebaliknya, mereka adalah kelompok yang perlu diasingkan daripada masyarakat.
Kita sama sekali tidak boleh membiarkan kelompok ini berasa bangga dan gembira dengan perbuatan mereka, apatah lagi apabila ia tersebar luas di seluruh dunia melalui internet.
Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera bagi memburu golongan pemuda yang terlibat. Mereka ini perlu diberi pengajaran bahawa perbuatan mereka sudah melampaui tata susila rakyat Malaysia.
Selain itu, kita juga bertanya apakah komen pakatan pembangkang terhadap perbuatan-perbuatan biadab yang dilakukan oleh penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan.
Jika mereka tidak mendesak supaya tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab, jelaslah perbuatan penunjuk perasaan berkenaan direstui oleh pembangkang.
Jangan lupa, Bersih adalah idea pembangkang dan sebelum ini pemimpin-pemimpin pembangkang menyertai himpunan berkenaan kononnya dalam usaha menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
Oleh itu, mereka tidak harus lepas tangan apabila ada penunjuk-penunjuk perasaan yang menyokong Bersih melakukan perbuatan kurang ajar seperti mana di dalam gambar-gambar yang disiarkan di surat khabar dan internet.
Apa pun, tumpuan lebih diberikan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan ke atas kelompok manusia yang dianggap masih berjiwa penjajah dan dianggap tidak berjiwa patriotik itu.
Kalau mereka berjiwa patriotik dan mempunyai tata susila yang tinggi sudah pasti mereka tidak akan mengibarkan bendera Merah Putih, tidak akan memijak gambar pemimpin negara dan melakukan perbuatan lucah di khalayak ramai.
Melalui perbuatan biadab yang berlaku sudah sampai masanya pihak berkuasa bertegas, memang benar yang terlibat hanya kelompok kecil tetapi kita tidak harus membiarkan seinci pun bumi Malaysia ini 'dihuni' oleh kelompok tidak bertamadun tersebut.
Justeru ketegasan pihak berkuasa amat dinanti-nantikan oleh ramai pihak kerana majoriti rakyat Malaysia sudah muak dengan tindakan berdasarkan amaran semata-mata.
Apa yang rakyat ingin lihat ialah kelompok bertanggungjawab dikenakan tindakan setegas-tegasnya.
Kita tidak boleh membiarkan kelompok ini dilihat memperkotak-katikkan undang-undang dan berani melakukan tindakan kerana merasakan ada pihak yang akan tampil membela mereka atas nama hak asasi manusia.
Apa yang mereka lakukan bukannya soal hak asasi apatah lagi memperjuangkan kebenaran atau keadilan tetapi demonstrasi yang diadakan sebenar bertujuan untuk mencemarkan imej Malaysia di mata dunia, mencabar keberanian pihak berkuasa dan menghina kepimpinan negara.
Oleh itu apakah mereka harus dibiarkan begitu sahaja? Segala-galanya terserah kepada pihak berkuasa menentukannya tetapi apa yang pasti ingatlah kata-kata Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang pernah mengingatkan,"pencerobohan besar bermula daripada pencerobohan kecil".
Jadi, tidak salah kalau kita katakan itulah yang dilakukan oleh sekelompok manusia pada malam menyambut kemerdekaan baru-baru ini, apabila mereka mengibarkan bendera Merah Putih, memijak gambar pemimpin dan menunjukkan aksi lucah.
Percayalah jika ini dibiarkan, maka tidak mustahil mereka akan melakukan lebih banyak lagi tindakan yang memualkan. Jangan biar ini terjadi!
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor