Pages
▼
Tuesday, August 7, 2012
Tragedi Bersahur
Bentong - Sepasang suami isteri terpaksa bersahur dalam keadaan mencemaskan bila empat penyamun bersenjatakan parang memecah masuk rumah mereka di Kampung Plentong, Karak, dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Aziz Salleh berkata dalam kejadian pada pukul 4.00 pagi itu, penyamun terbabit dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu depan yang diumpil menggunakan pemutar skru.
"Suspek kemudiannya mengacukan parang ke arah mangsa, masing-masing berusia lingkungan 40-an, dan mengikat mereka.
"Selepas mengikat tangan mangsa, seorang daripada suspek mengawal mangsa manakala tiga lagi menggeledah rumah mereka sebelum mengambil wang tunai RM500, telefon bimbit serta barang kemas yang ditemui dalam almari di bilik tidur mangsa," kata Aziz ketika dihubungi.
Katanya, penyamun terbabit kemudian melarikan diri masuk dalam hutan berhampiran sebelum kedua-dua mangsa berjaya membuka ikatan.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Karak dan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke tempat kejadian bersama Unit Anjing Pengesan (K-9).
Aziz berkata, selepas kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor