Pages
▼
Sunday, July 1, 2012
SUKMA - Pahang Janjikan Layanan Terbaik
Tuan rumah Sukan Malaysia ke-15, Pahang sudah bersedia sepenuhnya untuk menyambut kehadiran atlet dari 15 kontinjen, termasuk Brunei.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan Negeri Pahang, Datuk Ir. Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, proses persediaan berjalan lancar baik dari segi pembinaan gelanggang baru dan penaiktarafan gelanggang lama yang sedia ada.
"Kami yakin segala kemudahan yang telah disediakan akan dapat digunakan menjelang Sukan Malaysia yang bermula dari 7 hingga 16 Julai nanti," katanya ketika Penyerahan Watikah Jelajah Kembara Sukan Malaysia ke-15 Pahang 2012.
Jelasnya, tuan rumah yakin mampu menyediakan layanan kelas pertama kepada semua atlet yang mengambil bahagian.
"Kita juga mengandaikan semua kontinjen sudah bersedia menjelang temasya kali ini selepas mendapat gambaran awal bahawa mereka telah mempersiapkan atlet termasuk menghantar mengadakan latihan di luar negara.
"Jadi rata-rata atlet yang datang ke Pahang terdiri daripada mereka yang terbaik dari setiap negeri, Sukan Malaysia juga amat penting dalam melahirkan jaguh antarabangsa yang sedang mencipta nama sekarang ini seperti Datuk Nicol David dan Datuk Lee Chong Wei," katanya.
Sebanyak 24 acara akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia kali ini melibatkan tiga daerah termasuk Kuantan, Temerloh dan Pekan.
"Kontinjen Pahang juga bersedia untuk memberi cabaran dengan mengharapkan pingat emas dapat diraih sebanyak mungkin dalam beberapa acara pilihan seperti silat, memanah dan ekuestrian," katanya.
Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, kontinjen Wilayah Persekutuan telah bersedia dengan mensasarkan untuk menjadi juara keseluruhan.
"Kami akan menghantar 569 atlet dan cuba untuk meraih lebih daripada 40 pingat emas bagi menjadi juara keseluruhan. Ada di antara atlet kami dalam beberapa acara telah dihantar berlatih ke luar negara seperti di Macau, Australia dan Jepun," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor