Pages
▼
Tuesday, June 5, 2012
Usaha Membasmi Miskin Tegar
KUANTAN - Projek Agropolitan Tanjong Gahai antara mekanisme Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kadar kemiskinan sekali gus sebagai perintis dalam usaha membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek bernilai RM13.05 juta itu membabitkan kawasan seluas 220 hektar meliputi perumahan, surau, dewan, pusat rekreasi, tabika, ladang nanas komersial serta premis industri kecil dan sederhana (IKS).
Menurutnya, tanah seluas enam hektar turut dimajukan sebagai tapak 50 rumah dan kemudahan asas lain yang sudah siap sepenuhnya untuk penduduk memulakan kehidupan baru.
“Risda selaku agensi pelaksana memajukan tanah seluas 200 hektar untuk tanaman getah, manakala 14 hektar lagi untuk tanaman nanas komersial. Projek itu bakal memberikan pendapatan kepada penduduk terbabit,” katanya kepada media, kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Koyan berkata, kerajaan juga membina lima premis untuk penduduk menjalankan perniagaan runcit, bengkel motosikal, jahitan dan makanan.
“Sementara itu bagi keluarga miskin terbabit, mereka sudah menerima saham daripada hasil pasaran komoditi getah dan berpeluang menceburi sektor IKS untuk pengeluaran makanan pada masa akan datang.
“Pembangunan agropolitan di Gahai merangkumi kemudahan infrastruktur termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya di samping tapak tanaman kontan untuk memberi keselesaan kepada penduduk di sini,” katanya.
Wan Rosdy berkata, projek itu juga memberi keutamaan pada pembangunan modal insan melalui kemudahan tabika, kursus dan latihan kemahiran untuk kumpulan sasar menerusi bantuan bimbingan semua agensi kerajaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk SK Devamany berkata, pembangunan agropolitan Tanjong Gahai akan mempercepatkan lagi pertumbuhan kawasan baru di pedalaman Jelai dan mewujudkan Pekan Sungai Koyan sebagai hab berbelanja masyarakat sekitar.
“Pembangunan pesat ini memberi peluang kepada penduduk menyertai sektor perniagaan, manakala Sungai Koyan menjadi hab berbelanja penduduk Hulu Jelai termasuk Orang Asli.
“Kemudahan rangkaian jalan dari Raub, Kuala Lipis ke Cameron Highlands juga menyebabkan pekan ini berkembang maju sekali gus menjadi transit semua kenderaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor