Pages
▼
Tuesday, June 5, 2012
Belia Perlukan Hala Tuju
ADA sesetengah tanggapan mengatakan kerajaan mesti banyak bercerita mengenai kisah kejayaan (success story) kepada orang muda.
Kerajaan, kata mereka, mempunyai banyak kisah kejayaan yang orang sibuk bercakap kebelakangan ini. Hanya kerana kisah itu tidak diulangi beberapa kali, ia kurang disedari orang muda atau belia.
Cuma risikonya - keghairahan ‘pihak berkenaan’ dalam menerobos politik yang sihat masih belum pulih. Malah, semakin buruk. ‘Pihak berkenaan’ dikatakan menggerakkan politik biasa dalam keadaan yang ‘luar biasa’ dengan menjadikan politik tanah air dalam keadaan huru-hara sekarang.
Memang ‘pihak berkenaan’ dikatakan memiliki tahalluf siyasi atau permuafakatan politik yang tampak menyerlahkan misi bersama. Ia digabung-gabung, sampaikan konon tidak terjawab oleh pihak sebelah sana. Namun, kebelakangan ini khususnya sejak setahun lalu, tampak perubahannya.
‘Politik luar biasa’ ini dibalas dengan tahalluf siyasi kerajaan atau lebih tepat lagi Barisan Nasional yang tampak menggugat dan menggusarkan mereka.
Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya baru-baru ini adalah antara kisah kejayaan yang perlu dikongsi kepada rakyat negara ini terutama orang muda. Kepada kerajaan, ia majlis yang diadakan untuk orang muda.
Namun bagi pakatan pembangkang, apa sahaja dilakukan kerajaan waktu dan ketika ini adalah politik semata-mata. Pedulikan mereka. Kalau dilayan, tak berkerjalah kerajaan untuk rakyat.
Kerana pembangkang melihat majlis untuk orang muda yang berlangsung dari 23 hingga 23 Mei lalu itu sebagai himpunan sosial yang berjaya digelombangkan kepada himpunan politik, maka mereka mencuba untuk mensabotajnya.
Di Padang Kota, Pulau Pinang, pada hari sama himpunan jutaan belia berlangsung, pihak berkenaan mengadakan program untuk belia. Kelihatannya agak berjaya dari segi kehadiran program yang diketuai seorang ustaz.
Tetapi di Selangor, tindakan yang sama, gagal. Kerusi-kerusi yang diletakkan dalam dewan tidak diisi penonton, kosong belaka. Program yang sepatutnya dihadiri ketua pembangkang dan beberapa orang kanannya tidak berjaya.
Sebenarnya, golongan muda adalah sasaran kerajaan dan pembangkang. Kedua-duanya akur bahawa ketika ini golongan itu mewakili 77.9 peratus daripada pengundi berdaftar untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Bercakap kepada penulis di ibu negara Khamis lalu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan berkata, kalau hendak diambil kira jumlah kehadiran dan penyertaan lebih dua juta golongan di bawah umur 40 tahun ke Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya, ia memang tampak ketara pandangan mereka terhadap kerajaan - semakin hari semakin baik.
Ini kerana cuma satu sahaja yang boleh disimpulkan - kalau orang muda tak suka kerajaan, masakan mereka hadir program tersebut. Tapi, mereka tetap hadir dengan gelombang besar pula ke majlis di Putrajaya itu.
“Cuma kita (kerajaan) jangan terlampau selesa dan tidak baca isyarat orang muda ini dengan baik. Orang muda adalah golongan yang paling sukar diramal.
“Mereka seringkali dilabelkan sebagai golongan yang tidak mengambil peduli mengenai politik tanah air. Dan dikatakan mempunyai pelbagai tuntutan khusus yang sukar dijangka.
“Kerana itulah suara orang muda tidak boleh sesekali diketepikan. Hakikatnya golongan itu akan menjadi penentu kepada masa depan negara dan tentu sekali kita bercakap tentang menjelang PRU-13," kata beliau.
Mengambil peluang untuk menyelami isi hati orang muda inilah maka bertempat di sekitar Putrajaya sempena perhimpunan belia terbesar itu, pihak Fuad berusaha menyelami isi hati orang muda melalui satu kaji selidik.
Kajian dibuat dengan pemilihan responden dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun secara rawak merangkumi kaum Melayu sebanyak 82.34 peratus, Cina (10.04 peratus), India (3.94 peratus), Bumiputera Sarawak (0.96 peratus), Bumiputera Sabah (1.63 peratus), Orang Asli (0.49 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.31 peratus.
Hasil kajian yang diperoleh amat positif. Ia jelas sekali menunjukkan golongan muda mengambil berat mengenai politik negara. Berdasarkan soalan yang diberikan, seramai 46.1 peratus generasi muda berminat mengikuti perkembangan politik negara.
Lebih memberangsangkan lagi di sebalik tanggapan kononnya orang muda tidak hiraukan apa yang dibuat kerajaan, kira-kira 75 peratus responden yang sama berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan untuk generasi muda melalui Program Transformasi Kerajaan.
“Orang muda adalah pengundi berdaftar terbesar. Mereka ini penentu masa depan negara dan mengikuti perkembangan daripada media sosial dan media elektronik.
“Oleh itu boleh dirumuskan bahawa parti yang banyak memberi perhatian kepada pengurusan orang muda itulah yang akan menentukan kemenangan pada pilihan raya umum nanti," kata Fuad yang turut memberitahu kajian tersebut merangkumi 71 peratus belia bandar dengan bakinya adalah dari luar bandar.
Kata beliau, biarpun dapatan daripada kajian adalah positif, namun beliau berharap pihak kerajaan akan mengambil berat mengenai beberapa isu golongan muda yang sering diputar belitkan parti pembangkang.
“Kami sengaja meletakkan soalan adakah anda bersetuju agar semua hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dihapuskan dan hasil dapatan yang diperoleh adalah 42.7 peratus menyokong berbanding 34 peratus tidak menyokong.
“Di sini, isu PTPTN adalah isu popular dan ‘strategik’ dimainkan pembangkang sehingga memancing orang muda dan diajar oleh mereka nilai-nilai yang tidak baik, iaitu diajar agar tidak membayar hutang. Sedangkan perkara ini bertentangan dengan budaya ketimuran dan ajaran agama.
“Kita lihat orang muda sedikit sebanyak terpengaruh, oleh kerana itu, setiap kali isu seperti ini berlaku, kerajaan diharap bertindak pantas memberi penjelasan yang konkrit dan sistematik kerana isu pendidikan merupakan antara perkara yang menjadi perhatian golongan muda," katanya.
Fuad berpendapat, golongan muda mudah dipengaruhi. Oleh itu, golongan tersebut perlu diberi pendidikan dan penjelasan mengenai batas-batas ‘kebebasan’ agar tidak dimanipulasikan pihak-pihak yang menjadikannya sebagai slogan politik.
Berikutan perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara April lalu yang dikatakan ‘berjaya’ menarik sokongan orang muda, kajian pihak Fuad turut bertanyakan respons golongan belia mengenai demonstrasi tersebut.
Hasil dapatan mendapati 52.7 peratus responden tidak bersetuju bahawa demonstrasi jalanan merupakan cara terbaik untuk menegur kerajaan, manakala 54.9 peratus responden pula tidak bersetuju bahawa demonstrasi Bersih 3.0 benar-benar bersih.
Lebih menarik lagi, 64.3 peratus golongan muda yang ditemu bual itu mahu pihak berkuasa bertegas ke atas mana-mana kumpulan yang ingin mengadakan demonstrasi jalanan pada masa hadapan.
“Kajian tersebut turut menunjukkan majoriti responden bersetuju bahawa sistem pilihan raya di negara ini berjalan dengan baik dan lebih 50 peratus bersetuju sistem pilihan raya berlangsung dengan adil," katanya.
Kata Fuad, dalam kajian tersebut, pihaknya juga menyelitkan mengenai senarai pemimpin mana yang menjadi pilihan orang muda ketika ini. Rata-rata anak muda semua kaum memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding sembilan pemimpin lain termasuk kalangan parti pembangkang.
“Anwar Ibrahim tidaklah sepopular seperti yang disangka. Malah golongan muda dalam kajian itu lebih memilih (Mursyidul Am Pas) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbanding Anwar.
“Ini mungkin kerana orang muda sudah terdedah dengan cerita peribadi Anwar serta mereka juga telah melihat segala manipulasi janji pembangkang terutama PKR yang diketuainya yang tidak pernah ditunaikan," katanya.
Apa pun, rumusannya ialah kerajaan perlu pintar dalam membaca isyarat orang muda. Kehendak golongan ini memang sukar diramalkan.
Namun, kalau kita berpegang kepada satu sahaja -- orang muda biasanya golongan yang baru hendak memulakan kehidupan. Apa lagi yang baru berkahwin. Tuntutan mendesak waktu itu adalah soal ekonomi - peluang pekerjaan yang lebih baik dan rumah.
Meneliti dapatan kajian pihak Fuad, terselit satu rumusan di dalamnya yang agak menarik perhatian. Yakni, dalam kalangan orang muda, faktor yang banyak mempengaruhi pemilihan dalam politik ialah diri mereka sendiri. Peratusnya besar, 75.1. Pengaruh keluarga dan rakan-rakan pula, masing-masing hanya sekitar 30 peratus dan 27 peratus.
Orang muda memerlukan sesuatu yang luar biasa untuk disuntik. Jika di pentas ceramah, lawak jenaka wajar diselang-selikan dengan inti ucapan politik yang berat- lakukanlah.
Semakin ramai yang ingin mendengar kisah kejayaan kerajaan. Anak-anak muda ingin mendengar kisah tersebut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor