Pages
▼
Monday, January 16, 2012
Antara Sokongan Rakyat Dan Kerajaan
KERAJAAN yang sering prihatin terhadap kebajikan rakyat mampu mengekalkan kedudukannya dalam jangka masa yang panjang.
Kejatuhan kerajaan di negara-negara Arab dan Islam yang lain adalah akibat daripada sikap para pemerintah dan pentadbir negara tersebut yang kurang prihatin terhadap rakyat.
Pemimpin dan pentadbir dalam negara-negara Islam yang bergolak kurang memahami konsep atau prinsip kepimpinan dan pentadbiran negara mengikut lunas Islam. Kuasa dan kedudukan merupakan matlamat perjuangan mereka untuk menjadi orang berpangkat dan berpengaruh.
Apabila jiwa dan pemikiran disemat dengan bisikan begini maka setiap polisi yang ingin dilaksanakan dalam negara lebih menjurus kepada kepentingan golongan atasan dan berpangkat. Hasilnya, setiap projek atau perancangan yang dilaksanakan dalam negara tidak memberi sebarang keuntungan kepada rakyat.
Mesir adalah salah satu contoh terbaik dijadikan satu pengajaran kepada umat Islam bagaimana sebuah kerajaan yang mendapat bantuan dan sokongan yang paling kuat daripada kuasa besar Barat dapat ditumbangkan oleh rakyat.
Apabila kerajaan Hosni Mubarak tumbang maka terbongkar segala rahsia kerakusan dan kekejaman para pemimpin negara itu terhadap rakyat. Kegagalan para pakar pembuat polisi negara dalam merangka perancangan negara terutamanya dalam bidang ekonomi, sosial dan politik menjadikan Mesir sebuah negara miskin dan tunduk kepada kuasa besar dan Israel.
Dasar ekonomi terbuka memberi peluang seluas-luasnya kepada para pemimpin dan pentadbir serta kuasa besar menguasai kekayaan negara dan menjadikan rakyat menderita kelaparan. Dalam keadaan rakyat menderita para pemimpin dan pentadbir Mesir rakus dalam perebutan pangkat dan kedudukan maka ketika ini al-Ikhwan Muslimin muncul sebagai satu organisasi yang paling aktif dalam kebajikan masyarakat dengan menyediakan pelbagai aktiviti kebajikan dan kemudahan asas kepada rakyat melebihi kerajaan.
Oleh itu, dalam pilihan raya umum dalam peringkat pertama pada akhir tahun lepas al-Ikhwan Muslimin mendapat sokongan paling kuat. Ini menunjukkan bahawa organisasi yang menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat akan mendapat sokongan kuat walaupun ia tidak segagah parti politik yang mempunyai kelengkapan tentera dan sokongan daripada kuasa besar.
Para pakar pembuat polisi negara merupakan golongan terpenting bagi menentukan kekuatan sesebuah kerajaan. Islam amat prihatin dalam soal pemilihan para pembuat polisi negara kerana kegagalan mereka menggariskan dasar negara boleh menyebabkan sebuah kerajaan tumbang walaupun pucuk pimpinan negara berjiwa rakyat.
Setiap individu yang dilantik sebagai pembuat polisi negara sepatutnya memiliki sifat kecintaan terhadap kerajaan memerintah, tinggi sifat kemanusiaan, bijak dan mampu menggariskan dasar yang memberi manfaat kepada kerajaan dan negara dalam jangka masa yang panjang, memahami konteks kehidupan masyarakat dan negara, tidak mementingkan diri dan gemar hidup dalam keadaan sederhana.
Apabila pakar pembuat polisi negara mempunyai ciri-ciri tersebut maka setiap dasar atau perancangan negara akan diterima oleh rakyat dengan wajah berseri-seri. Kegembiraan mendapat hadiah atau sumbangan daripada kerajaan boleh membangkitkan semangat ingin berkhidmat kepada kerajaan secara telus dan jujur serta cintakan negara.
Pucuk pimpinan negara merupakan orang yang membuat keputusan dalam setiap perancangan yang digariskan oleh para pakar pembuat polisi negara. Oleh itu pemimpin negara perlu memiliki kebijaksanaan, kecekapan, pengalaman dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran, memahami konteks kehidupan masyarakat, berfikiran terbuka serta sensitif dengan permasalahan masyarakat.
Apabila pucuk pimpinan negara mempunyai ciri-ciri begini beliau akan membuat keputusan berdasarkan kepada pengamatnya sendiri bukan dipengaruhi oleh sebarang individu yang mempunyai kepentingan diri.
Sebuah kerajaan mampu memerintah dalam jangka masa yang panjang jika rakyat merasai tidak terdesak untuk memenuhi keperluan asas dalam kehidupan mereka.
Kegembiraan rakyat yang miskin sering dikaitkan dengan pengisian perut yang lapar dimana sumber makanan dan minuman mudah diperolehi.
Jika kerajaan ingin membentuk sebuah negara berpendapatan tinggi maka golongan miskin yang tidak mempunyai kedudukan dan pangkat perlu difikirkan terlebih dahulu supaya fenomena yang berlaku di negara Barat tidak wujud dalam negara ini.
Negara-negara kaya di Eropah terkenal sebagai negara berpendapatan tinggi tetapi harga makanan dan barang asas terlalu mahal menyebabkan rakyatnya begitu berjimat untuk membeli keperluan asas dan makanan.
Jika suasana begini berlaku di negara ini maka ramai rakyat berpendapatan rendah tidak mampu membeli barang makanan seperti berlaku di negara Barat.
Kesederhanaan merupakan prinsip kehidupan masyarakat Islam. Berdasarkan kepada konsep kehidupan begini maka umat Islam amat prihatin dalam pembentukan masyarakat yang ideal di mana jurang perbezaan di antara golongan kaya dan berpendapatan rendah adalah tidak terlalu ketara dan jauh.
Apakah ertinya jika negara terkenal dengan negara berpendapatan tinggi sedangkan ramai rakyat yang menderita untuk mendapat sumber makanan dan keperluan asas.
Lumrah kehidupan di dunia ialah golongan miskin dan berpendapatan rendah adalah terlalu ramai jika dibandingkan dengan golongan kaya dan berpendapatan tinggi.
Negara yang mengamalkan sistem demokrasi sepatutnya berusaha memperkukuhkan pendapatan golongan miskin dan berpendapatan rendah terlebih dahulu sebelum memberi keistimewaan kepada golongan elit dan berpangkat tinggi kerana undian golongan miskin melebihi golongan kaya. Ini adalah merupakan asas utama kepada kekuatan kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor