Kuala Lumpur - Pihak berkuasa menggempur lokasi utama warga Afrika di sekitar Lembah Klang dan Mantin, Negeri Sembilan malam tadi, termasuk dua pusat hiburan yang menjadi tumpuan mereka pada malam minggu, bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan pas pelajar dalam kalangan rakyat benua itu.
Hasilnya, dalam Ops Bersepadu secara serentak dilakukan Jabatan Imigresen Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan itu, seramai 89 warga Afrika termasuk lima wanita ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selain ada yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan antarabangsa.
Turut membantu dalam operasi yang bermula pukul 11 malam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Empat kawasan serbuan terlibat adalah di Damansara, Bandar Sunway, Kepong dan Mantin. Turut ditahan dalam operasi sama ialah 12 rakyat negara lain atas kesalahan serupa.
Di Damansara Damai dan Saujana Ria, jurucakap Imigresen Putrajaya berkata, pihaknya menahan seramai 30 warga Nigeria termasuk seorang wanita kerana kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Mereka adalah antara 182 warga asing yang diperiksa. Selain itu, tiga lelaki lagi masing-masing warga Amerika Syarikat, Pakistan dan Myanmar turut ditahan kerana melakukan kesalahan sama.
“Kesemua mereka diperiksa dan ditahan di premis perniagaan, rumah dan terdapat yang berkeliaran pada awal pagi,” katanya di sini, hari ini.
Di Kepong iaitu di Taman Fadason, Metro Prima Kepong, Taman Rimbunan dan dua pusat hiburan yang menjadi tumpuan warga Afrika pada malam minggu, seramai 120 rakyat negara itu diperiksa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur.
Kata jurucakapnya, daripada jumlah tersebut seramai 36 warga terbabit ditahan di bawah Akta Imigresen.
“Seorang daripadanya cuba terjun dari tingkat tiga sebuah premis pusat hiburan tetapi berjaya dipujuk,” katanya.
Di Pangsapuri Lagoon Perdana dan Bandar Sunway pula, seramai 15 warga asing termasuk enam warga Afrika ditahan Jabatan Imigresen Selangor.
Pengarah Imigresen Selangor, Amran Ahmad berkata, seramai 89 pegawai dan anggota jabatan itu terlibat dalam operasi yang bermula pada pukul 11 malam.
“Lima lelaki dan seorang wanita warga Afrika berjaya ditahan. Selain itu tiga wanita Indonesia, dua wanita Uganda, serta masing-masing satu lelaki Yemen, Botswana, Nepal dan Bangladesh juga ditahan,” katanya.
Di Mantin, seramai 300 warga Afrika yang kebanyakannya pelajar sebuah kolej swasta, telah diperiksa dengan 14 daripada mereka termasuk tiga wanita ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman berkata, tiga lagi lelaki warga Afrika ditahan di sebuah unit pangsapuri kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan antarabangsa.
Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui dua buah komputer riba yang disorokkan di atas siling dan di dalam kusyen.
“Dalam komputer riba itu terdapat beberapa dokumen digital, salinan kad pengenalan beserta gambar yang dipercayai dipalsukan selain pasport dan juga borang-borang pemindahan wang pelbagai agensi antarabangsa.
“Suspek-suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, seorang lelaki warga Afrika patah kaki kanannya selepas terjun dari tingkat dua sebuah pangsapuri dalam serbuan dijalankan.
“Selepas diperiksa lelaki itu didapati tinggal lebih masa di negara ini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor