Pages

Thursday, July 7, 2011

Pembangkang Tidak Diperlukan DI Felda



Orang Melayu perlu mengenang jasa pemimpin terdahulu yang mewujudkan Felda sekali gus berjaya membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat negara ini. Sejak ditubuhkan lebih 50 tahun lalu, Felda berjaya memajukan kira-kira sejuta hektar tanah dengan tanaman getah, sawit dan tebu di 11 wilayahnya di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, seramai 112,636 peneroka atau kira-kira tiga juta warganya telah merealisasikan matlamat penubuhan Felda.

Menurut beliau, kehidupan warga Felda amat tersusun dengan organisasi mantap yang diketuai pengurus rancangan dengan dibantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan/Kampung (JKKR/K).

''Pada masa sama, warga peneroka sangat bertuah kerana Felda dan kerajaan sentiasa memberi perhatian apa juga keperluan sama ada dari segi ekonomi, sosial, infrastruktur dan pendidikan.

''Jangan sama sekali ada yang menafikan peranan besar kerajaan dan Felda mengangkat status sosioekonomi mereka yang setanding dengan golongan berpendapatan tinggi di luar sana," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tan Mohd. Aminuddin yang juga Ahli Lembaga Felda mengingatkan peneroka perlu kekal bersama kerajaan supaya agenda pembangunan untuk generasi baru yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar. Katanya, banyak telah dirancang dan dilaksanakan seperti menyediakan kemudahan sukan, rekreasi, kemudahan awam dan perumahan generasi baru Felda.

Beliau kesal ada segelintir warga Felda menyokong pembangkang sedangkan golongan itu adalah pengacau ketenteraman masyarakat Felda.

''Warga Felda harus mengakui hakikat hanya Felda mampu mengangkat martabat peneroka berbanding pembangkang yang hanya pandai beretorik," katanya.

Justeru, tegasnya, peneroka perlu mempertahankan Felda yang menyediakan tapak kukuh pemilikan hartanah dalam kalangan orang Melayu.

''Golongan miskin yang diterima masuk menjadi peneroka berjaya mengubah taraf kehidupan seratus peratus," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib menegaskan, warga Felda perlu 'berjihad' mempertahankan Felda daripada ditembusi pengaruh pembangkang yang boleh menghakis kepentingan mereka.

Tambahnya, pembangkang mempunyai banyak muslihat untuk memperdayakan masyarakat bagi tujuan menarik undi pada pilihan raya.

''Jangan gadaikan maruah dan kepentingan orang Melayu di Felda hanya kerana terpesona dengan janji manis pembangkang sedangkan mereka selama ini banyak menikmati pembangunan," katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Ismail menambah, Felda mempunyai keupayaan kewangan dan kepakaran untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada warga Felda.

''Ini bermakna warga Felda tidak memerlukan pembangkang di Felda," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor