Pages

Friday, July 15, 2011

Pahang Naik Taraf Bekalan Air

Kerajaan Pahang sedang berusaha mengatasi masalah bekalan air dengan menjalankan proses menaik taraf secara berperingkat bagi menggantikan loji dan paip usang di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, isu berkaitan bekalan air dibincang secara serius pada Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan mengenal pasti beberapa kawasan yang mengalami masalah tersebut.

''Kerajaan negeri membuat pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan kerana bajet menggantikan semua saluran paip dan loji memerlukan perbelanjaan besar iaitu RM1.5 bilion.

''Bagaimanapun pembangkang menyebar fitnah kononnya kerajaan negeri melakukan pembaziran sebanyak RM2 bilion sedangkan perbelanjaan tersebut bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih dan tidak lagi mengalami kesukaran pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Mesra Bersama Penduduk Daerah Raub di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram.

Menurut Adnan, sekiranya proses menaik taraf bekalan air itu dilakukan serentak di seluruh negeri, rakyat akan menghadapi masalah bekalan selama enam bulan dan ia akan menimbulkan kesukaran kepada mereka. Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, bekalan air di Pahang tidak akan terjejas walaupun disalurkan ke Lembah Klang.

Katanya, masalah bekalan air yang dihadapi kini bukan berpunca daripada kekurangan sumber tetapi masalah saluran paip usang dan loji pemprosesan yang perlu dinaik taraf. Beliau memberi jaminan bekalan air di negeri ini tidak akan terjejas kerana sumber sedia ada melebihi keperluan rakyat.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor