Pages

Wednesday, July 27, 2011

Kerajaaan Negeri Pahang Prihatin Dengan Masyarakat Orang Asli


Kerajaan memperuntukkan hampir RM10 juta untuk membina jalan raya sepanjang 35 kilometer menghubungkan Pos Betau ke Pos Lenjang, Hulu Jelai dekat sini pada tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jalan raya itu bakal memberi manfaat kepada seramai 5,000 penduduk Orang Asli di Pos Lenjang dan Titom untuk ke pekan Sungai Koyan, Kuala Lipis dan Raub.

"Projek yang dijangka siap dalam tempoh setahun dapat memendekkan masa perjalanan antara empat hingga lima jam untuk mengangkut hasil kampung ke Sungai Koyan.

"Peruntukan ini diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menghadiri Perhimpunan 1Malaysia bersama masyarakat Orang Asli di Pos Betau pada 24 Julai tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas melakukan acara pecah tanah projek berkenaan di Pos Betau, Hulu Jelai baru-baru ini.

Menurut Wan Rosdy, projek itu akan memberi kemudahan kepada semua agensi kerajaan di daerah ini melaksanakan tugas ke kawasan penempatan Orang Asli di Lenjang dan Titom di samping memudahkan anak- anak mereka ke sekolah berdekatan penempatan masing-masing.

''Projek ini antara manifestasi kerajaan menjaga kebajikan penduduk Orang Asli di pedalaman di samping merancakkan sektor pertanian dan pelancongan," ujarnya.

Sebelum ini, katanya, penduduk menggunakan jalan tanah merah yang menimbulkan masalah terutama ketika musim hujan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri memberi jaminan projek tersebut tidak akan menjejaskan alam sekitar.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Alang a/l Manau, 45, berkata, projek tersebut memenuhi hasrat mereka yang sekian lama mengharapkan masalah perhubungan di pedalaman Hulu Jelai diselesaikan.

1 comment:

  1. Tahniah PahangKu yg sudah bertambah baik dalam menyampaikan berita kepada rakyat. Berita2 yang tulin dan benar, tidak spt blog Pahang yang lain yang hanya membawa berita yg sudah di spin penuh dengan spekulasi serta fitnah. Mereka itu adalah dari kalangan kaum fasik, pembawa berita dusta....

    ReplyDelete

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor