Sebelum menjelangnya sepak bola Liga Malaysia (Liga-M) 2017 yang bakal menyingkap tirainya pada 20 Januari ini, beberapa inisiatif dilakukan sekumpulan tegar penyokong Selangor dalam usaha memastikan kerancakan bahang pertandingan terus dirasai.
Bertempat di Kedai Al Iwan Meru, Klang, hampir 100 penyokong setia Merah Kuning berkumpul di sini dalam satu program yang dinamakan Himpunan Koleksi Jersi Selangor Darul Ehsan.
Penganjur program yang juga pemilik kedai Al Iwan, Yusrizuan Mokhlas, 34 berkata, idea itu tercetus hasil daripada perbincangan dengan group WhatsApp yang memiliki hobi dan minat yang sama.
“Kedai saya jadi platform untuk rakan dan peminat berkumpul dan saling bertukar pendapat. Ini juga kali pertama saya buat program khusus untuk jersi Selangor bersama kawan-kawan.
“Ada antara pengumpul jersi dari sekitar Meru, juga pelanggan tetap dan terdapat wakil kelab penyokong yang hadir.
“Kami memulakan gerak kerja untuk program ini sejak dua minggu lalu dan ada yang kita tulis di laman sosial seperti Facebook, WhatsApp dan juga dalam grup bola sepak,” katanya ketika ditemui Ultras Sinar.
Turut hadir, legenda pemain Selangor, Malek Rahman dan Abdul Mutalib Adam.
Yusrizuan berkata, pengumpul ini ada yang datang dari Gombak, Putrajaya dan kebanyakan dari Shah Alam.
Katanya lagi, antara koleksi jersi yang dipamerkan adalah jersi tahun 1982, 1985, 1986 serta era 90-an.
“Ramai pengumpul memburu jersi match worn pemain kerana ia cukup berharga dan itu membuatkan mereka geram untuk memilikinya. Kita juga ada jersi jenis original dan repro.
“Paling susah nak dapat adalah jersi ori tahun 80-an. Dan saya dengar ada pengumpul menawarkan RM1,500 untuk membeli jersi 1985 yang cukup rare dan ada nilai sentimental,” katanya akui sambutan cukup menggalakkan diterima daripada peminat dan orang ramai.
Sementara itu, salah seorang pengumpul
jersi dari Klang, Muhamad Azriq Barzam, 26, berkata, jersi Selangor tajaan Talam pada tahun 2004 disifatkan cukup unik.
“Sebab ia zaman kejatuhan pasukan dan orang tak nak datang ke stadium. Masa tu, aksi terakhir Azman Adnan dan Amri Yahyah pun ada. Walaupun tahun 2002 menang kejuaraan tapi terus merudum sebelum bangkit dengan gelaran tiga piala (Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia) pada 2005,” katanya.
Tambahnya, ramai pengumpul cari jersi tersebut kerana harganya dikhabarkan mencecah RM1,500 hingga RM2,000 dan tidak banyak dikeluarkan oleh pembekal pada zaman itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor