Pages

Friday, January 6, 2017

[JENGKA] GURU TABIKA KEMAS PATAH TANGAN DISAMUN


Kes jenayah


Seorang guru Tabika Kemas di Bandar Tun Razak, Jengka dekat Maran, patah tangan setelah dicederakan seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup muka ketika menyamun mangsa petang semalam.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Rahsina Sulaiman, 54, patah tangan kiri selepas suspek memukulnya yang sedang duduk di atas kerusi dalam tabika tersebut dengan sebatang kayu sebelum melarikan beg tangan mangsa.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata semasa kejadian tersebut pintu tabika berkenaan dalam keadaan terbuka dan Rahsina sedang berseorangan menyiapkan kerja.

"Suspek masuk ke dalam kelas tabika seorang diri membawa sebatang kayu dan terus memukul tangan kiri mangsa. Ketika itu tiada saksi melihat kejadian tersebut.

"Kawasan dalam dan luar serta sekitar tabika itu tidak mempunyai CCTV (kamera litar tertutup)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mat Rizal berkata mangsa mengalami kerugian berjumlah RM2,000 termasuk wang tunai tabika dan peribadi kira-kira RM1,000 serta telefon bimbit jenama Samsung.

Beliau berkata Rahsina tidak dapat mengecam muka suspek yang berkulit gelap, kurus dan tinggi itu kerana lelaki berkenaan memakai topi keledar bertutup muka dengan cermin hadapan.

"Mangsa hanya nampak suspek menggunakan motosikal berwarna hitam, namun tidak pasti jenis dan nombor pendaftarannya," katanya.

Menurut Mat Rizal, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Bandar Jengka dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor