Labis – Seorang ibu tunggal di Pekan Air Panas, di sini, merayu agar anak tunggalnya yang menghilangkan diri dari rumah sejak 29 Disember lalu supaya pulang ke pangkuan keluarganya.
Suhaizah Mohd Sharif, 45, berkata, dia menyedari kehilangan anak perempuannya, Nur Aleeyana Azizi, 16, apabila anaknya itu tidak pulang ke rumah selepas urusan pendaftaran sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, di sini.
“Ini merupakan kejadian kali pertama dia menghilangkan diri dan sebelum ini terdapat salah faham di antara Aleeyana apabila adik saya menegur keputusan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Aleeyana yang tidak begitu cemerlang.
“Tetapi saya tidak menyangka dia merajuk sampai sanggup menghilangkan diri dan hari ini sudah lapan hari dia menghilangkan diri dan saya bersama adik-beradik yang lain sudah puas mencarinya tetapi tidak menemuinya,” katanya.
Dia ditemui sewaktu menerima lawatan Skuad Sayang Wanita Umno Bahagian Labis yang diketuai oleh Ketua Wanitanya, Haslinda Salleh di Pekan Air Panas, di sini, hari ini.
Suhaizah berkata, emosinya kini tidak stabil apabila memikirkan keadaan anaknya itu selain sudah membuat laporan polis pada 30 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
“Telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi dan apa yang merisaukan saya dia keluar sehelai sepinggang dan mengikut kata rakannya, kali terakhir dia melihat Aleeyana adalah di Stesen Bas Labis.
“Ketika kejadian dia hanya membawa beg sekolah sahaja dan apa yang saya risaukan adalah keselamatan dirinya memandangkan dia seorang perempuan selain makan minum dan tempat tidurnya,” katanya.
Menurutnya, dia yang tinggal bersama ibunya, Raimah Abu, 66, dan adiknya, Salmi Mohd Sharif, 36, juga berharap Aleeyana dapat pulang segera ke rumah dan bersedia memaafkan kesalahan anaknya selain dapat meneruskan sesi persekolahan di tingkatan empat seperti biasa.
Katanya, dia juga meminta bantuan orang ramai yang melihat anaknya itu supaya dapat menghubungi balai polis yang berhampiran atau adiknya, Salmi di talian 01115114605 dan 079287069.
Sementara itu, Haslinda berkata, beliau meminta keluarga tersebut bersabar selain akan berusaha untuk membantu menyebarkan maklumat kehilangan Aleeyana menggunakan media sosial.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor