Pages

Sunday, January 8, 2017

DATA BANJIR PERLU DIANALISIS


Banjir


Shah Alam - “Analisis data tentang banjir sebaik mungkin,” demikian kata Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr Ahmad Ismail, bagi mengulas isu banjir yang kerap melanda negara khususnya Pantai Timur Semenanjung saban tahun.

Menurutnya, analisis ini termasuklah dari segi landskap, faktor sosial, ekologi dan langkah-langkah keselamatan bagi setiap kawasan yang dilanda musibah berkenaan.

“Mungkin kerajaan sudah mempunyai data lengkap tentang banjir terutamanya apabila peristiwa banjir besar pada tahun 2015 melanda Kelantan.

“Dengan maklumat yang ada, sedikit sebanyak masalah banjir dapat diatasi dan ini perlunya analisis kerana ia bukan sahaja melibatkan kerugian besar pada harta benda, malah turut mengancam nyawa,” katanya kepada Sinar Online.

Ahmad bagaimanapun berpendapat bahawa sepatutnya bencana alam tahun ini telah diuruskan dengan baik kerana peristiwa banjir berlaku hampir setiap tahun walaupun bagi masyarakat di pantai timur semenanjung banjir sudah menjadi kebiasaan.

Jadi, maklumat-maklumat tentang banjir seperti topografi, aliran sungai, penempatan penduduk dan perkara yang mempunyai kepentingan kepada manusia, aktiviti manusia dan alam sekitar perlu dikumpulkan dan diperincikan.

Tambahnya, semua perincian ini adalah perlu bagi memudahkan kita menguruskan masalah banjir.

“Kawasan yang sensitif banjir perlu ditekankan selain merancang aliran air ke tempat rendah atau laut bagi mengawal laluan banjir,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan proaktif bagi mengatasi banjir perlu dilaksanakan dengan teratur.

“Kerajaan Pusat perlu buat kajian menyeluruh tentang perkara ini antaranya adalah melaksanakan projek penempatan banjir yang lebih strategik serta kajian-kajian termasuklah dengan meninggikan tebing di sungai-sungai yang kerap menjadi limpahan.

“Dengan langkah ini, sistem pengaliran air menjadi lebih teratur dengan kajian-kajian yang dilakukan secara menyeluruh,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor