Pages

Monday, September 7, 2015

[KUANTAN] PENIAGA DIGESA TURUN HARGA BARANG


Harga minyak turun: Peniaga digesa turunkan harga


Peniaga diingat untuk menurunkan harga barangan dan makanan selepas kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan, Datuk Seri Shahirudin Ab Moin berkata, tiada alasan untuk peniaga mengambil masa yang lama menurunkan harga.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan lebih agresif membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap peniaga yang tidak beretika.

“KPDNKK akan mengarahkan penguat kuasanya di seluruh negara memantau serta mengambil tindakan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap peniaga yang melanggar akta tersebut.

“Dalam tempoh seminggu mulai dari tarikh harga minyak turun, penguatkuasa KPDNKK akan turun padang dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang ingkar peraturan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Francais Komuniti Peringkat Zon Timur di sini semalam.

Shahirudin menegaskan golongan peniaga seharusnya bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha meringankan beban rakyat dan bukannya mengambil kesempatan terhadap isu minyak.

Harga minyak runcit petrol RON95 turun 10 sen kepada RM1.95 seliter, RON97 turun 10 sen kepada RM2.35, manakala harga diesel pula turun 15 sen kepada RM1.80 seliter.

Di samping itu juga, pengguna turut disarankan untuk menggunakan kuasa pengguna dengan memboikot peniaga yang masih degil untuk menurunkan harga.

“Pengguna juga perlu bijak dan mengambil tahu ilmu kesedaran mengenai isu ini agar mereka tidak terperangkap dengan helah peniaga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor