Keputusan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dilihat akan meletakkan badan induk sukan bola sepak negara itu semakin 'lemah dan parah'.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata FAM seharusnya mengambil sikap lebih terbuka untuk memperbaiki kelemahan yang ada, dan peminat tidak seharusnya terus menghukum FAM.
"Difahamkan Tengku Mahkota Pahang (Tengku Abdullah) akan meletak jawatan sebagai Presiden FAM, satu tindakan yang cukup 'gentleman'. Namun tidak seharusnya Tengku Mahkota Pahang dipersalahkan (kerana) FAM itu 'collective' (secara kolektif).
"Perletakan jawatan Presiden akan meletakkan FAM lebih parah dan lebih lemah. Yang penting ialah tindakan untuk memperbaiki," katanya dalam laman Facebook peribadi miliknya di sini, hari ini.
Annuar berkata Tengku Abdullah telah banyak berjasa kepada sukan bola sepak Malaysia serta antarabangsa, dan beliau berharap agar baginda dapat memikirkan perkara berkenaan sedalam-dalamnya.
Tengku Abdullah hari ini menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden FAM kepada individu lain yang lebih layak, dan ia akan dilakukan secara berperingkat.
Baginda berkata keputusan itu diambil berikutan kekalahan memalukan skuad negara 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, Khamis lepas.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor