BENTONG - Sambutan Hari Kemerdekaan Negara telah diadakan di peringkat Daerah Bentong. Sambutan yang dijalankan di Dataran Tras, Bentong telah dihadiri hampir lima ratus orang. Sambutan Hari Kemerdekaan ini telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Bentong, Tuan Azhar Bin Haji Arshad.
Amanat Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Pahang telah dibacakan oleh Tuan Azhar, antara lain menyeru semua rakyat Malaysia berbilang kaum, agar terus menjaga perpaduan dan keharmonian supaya kemerdekaan negara terus terpelihara. Rakyat turut diminta supaya tidak percaya dengan khabar khabar angin yang sengaja disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan niat memecahbelahkan rakyat dan menimbulkan suasana tidak aman di negara ini.
Perbarisan sempena sambutan hari kemerdekaan ini telah disertai oleh agensi agensi kerajaan, NGO serta anggota keselamatan beruniform. Pertunjukkan kawad senyap oleh Kadet Sekolah Menengah Seri Bentong, demonstrasi anti rusuhan oleh Rejimen 25 Askar Melayu DiRaja, bacaan sajak dan nyanyian koir merdeka turut memeriahkan suasana.
Untuk pertandingan sepanduk tercantik, ianya dimenangi oleh Majlis Perbandaran Bentong manakala persembahan kawad terbaik dimenangi oleh KEMAS. Untuk Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia Peringkat Daerah Bentong pula, Kampung Lengkong Paya Pelantar telah diisytiharkan sebagai johan dan berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM 4000.00.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor