Pages

Tuesday, August 25, 2020

PERBELANJAAN PENGURUSAN BENCANA PAHANG BERJUMLAH RM807,782


KUANTAN, 24 OGOS 2020: Sebanyak RM807,782 wang dari Tabung Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka sudah digunakan bagi tujuan pengurusan bencana negeri Pahang termasuk menguruskan mangsa wabak COVID-19 sehingga 10 Julai lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, Kerajaan Negeri telah menyediakan satu tabung khusus untuk membantu rakyat negeri ini yang ditimpa bencana dikenali sebagai Tabung Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka.

 

“Tabung ini bertujuan untuk menanggung perbelanjaan berkaitan pemberian bantuan seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal serta apa juga perbelanjaan yang tertanggung semasa kerja pemulihan mangsa bencana,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Mentakab, YB Encik Woo Chee Wan (DAP) pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

 

YB Encik Woo ingin tahu bagaimana Kerajaan Negeri membantu keluarga mangsa COVID-19.

 

YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, Kerajaan Pahang juga telah menyalurkan bantuan kewangan bulanan (Bantuan Am) bagi tahun 2020 sebanyak RM13.71 juta.

 

“Penerima bantuan kewangan bulanan sehingga Julai 2020 adalah seramai 2,840 orang. JKM Pahang juga telah menerima peruntukan sebanyak 22,000 unit bakul makanan untuk diedarkan kepada keluarga yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan perbelanjaan RM1.65 juta,” katanya.

 

 – PAHANGMEDIA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor