KUANTAN, 26 Ogos – Exco Pelancongan Alam Sekitar dan
Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yakin dan percaya,
Dap pastinya akan menjadi api dalam sekam membabitkan isu pemutihan tanah haram
seluruh negeri Pahang.
Tegasnya, mereka pasti akan menjadi pejuang kononnya membela
nasib rakyat, sebagaimana dilihat dalam isu membabitkan kilang memproses nadir
bumi Lynas di Gebeng sebelum ini, Dap menjadi pejuang dalam isu itu namun
selepas berkuasa senyap.
“Kini, Dap mahu menjadi juara dalam isu penerokaan tanah
haram membabitkan pekebun durian di Raub pula. Dap ini hanya hidup bila ada isu
sahaja.
“Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pahang ini adalah rutin
dalam pentadbiran, itu hak kerajaan negeri yang bukan dirampas atau diambil
balik tetapi dilakukan penyelesaian yang memberikan situasi menang-menang
antara kedua-dua pihak.
“Salahkah kerajaan Pahang berbuat demikian? Banyak lagi
rakyat Pahang tidak mempunyai tanah,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini
hari ini.
Sharkar berkata isu penerokaan tanah secara haram di negeri
Pahaang bukan perkara baharu tetapi telah sekian lama berlaku sekali gus
mengalirkan banyak wang keluar yang sepatutnya menjadi hasil kerajaan negeri.
“Enggan melakukan kesilapan lagi, kerajaan negeri Pahang
yang kini dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mencari
penyelesaian terbaik bagi ‘menghalalkan’ tanah-tanah haram yang diteroka di
seluruh negeri ini.
“Tanah haram itu bukan sahaja yang membabitkan pertanian,
malah perindustrian, perladangan, perumahan termasuk gerai-gerai haram.
“Dalam istilah lain, kerajaan Pahang akan melakukan
pemutihan tanah-tanah haram di seluruh negeri ini demi memacu kegemilangan
negeri ini khususnya dari sudut pembangunan ekonomi,” ulas Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Lanchang itu lagi.
Jelas Sharkar lagi, langkah tersebut perlu demi memastikan
situasi menang-menang dapat diperolehi bukan sahaja dalam kalangan peneroka
tanah malah apa yang penting hasil kepada kerajaan negeri.
“Saya berikan contoh, sebelum ini 30 tahun tanah kerajaan
negeri diteroka secara haram untuk penanaman kelapa sawit, dalam tempoh
berkenaan, satu sen pun tidak bayar kepada kerajaan negeri.
“Itu merupakan satu ketidakadilan dan atas faktor itulah
kerajaan negeri mencari penyelesaian untuk ‘menghalalkan’ atau ‘memutihkan’
tanah-tanah yang diteroka secara haram di seluruh negeri ini.
“Kerajaan negeri tidak merampas atau mengambil alih tanah
itu, ia masih diusahakan oleh pihak yang menerokanya, ini perlu difahami dengan
jelas kerana pasti ada pihak akan mempolitikkannya,” kata Ahli Majlis Kerja
Tertinggi UMNO itu lagi.
Katanya lagi, apa kerajaan negeri akan lakukan seperti meletakkan beberapa syarat seperti pihak terlibat (pencerobohan) perlu membayar denda, kemudian meminta mereka menjelaskan premium, sewaan atau pemilikan sementara tanah, membayar cukai dan mengutip hasil tahunan.
SUMBER – UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor