Pages

Monday, August 31, 2020

NGO NYATA SOKONGAN TINDAKAN DIKENAKAN TERHADAP PENCEROBOH TANAH HARAM DI RAUB

 

                                              

KUANTAN : Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Pahang menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rasdy Wan Ismail, Kerajaan Pahang dan Pejabat Daerah dan Tanah Raub yang mengambil tindakan serta tidak tunduk ke atas penerokaan tanah haram di Raub.

 

Wakil Gabungan NGO-NGO Pahang, Muhammad Faiz Hashim berkata, pencerobohan yang sudah berpuluh tahun itu mengaut keuntungan yang tidak mendatangkan hasil kepada Kerajaan Pahang.

 

Menurutnya, sehingga hari ini Kerajaan Pahang sudah rugi RM30 juta akibat hasil pencerobohan tanah haram di Raub.

 

“RM30 juta macam-macam Kerajaan Pahang boleh bantu, tetapi apabila hasil ni dirompak dan dibawa keluar dari Pahang apa yang rakyat Pahang dapat pada hari ini,” katanya.

 

 

Muhammad Faiz Hashim ketika menyampaikan ucapan bersama gabungan NGO-NGO Pahang ketika mengadakan himpunan aman dan laporan Polis bagi membantah penerokaan tanah haram, memperkasakan jawi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara serta mengutuk tindakan menterbalikkan Jalur Gemilang bersama beberapa NGO di Taman Kerang, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika himpunan aman dan laporan Polis bagi membantah penerokaan tanah haram, memperkasakan jawi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara serta mengutuk tindakan menterbalikkan Jalur Gemilang bersama beberapa NGO di Taman Kerang, di sini hari ini.

 

Antara NGO yang terlibat ialah Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia, Pekida Pahang, TUNTUT Pahang, Pertubuhan Suara Anak Pahang, Kelab Anak Pahang dan OGG.

 

Beliau berkata, kerakusan penerokaan tanah haram tanpa memikirkan isu utama masalah air sungai keroh yang kerap berlaku dan menyebabkan masalah bekalan air di Raub.

 

Menurutnya, yang menjadi mangsa fitnah adalah Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Raub dan kakitangannya sedangkan penceroboh inilah puncanya.

 

“Sedangkan pekebun kecil boleh diambil tindakan apatah lagi penerokaan haram yang semakin berleluasa ini,” katanya.

 

Muhammad Faiz juga turut mempersoalkan monopoli dengan meletakkan harga durian yang ada kalanya tidak masuk akal.

 

“Kita hendak bermacam-macam bantuan daripada Kerajaan Negeri, tetapi peneroka tanah haram untung atas angin dan secara peribadi,” katanya.

 

Himpunan aman itu juga mengutuk sekerasnya pihak-pihak yang menterbalikkan Jalur Gemilang.

 

 

Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Saudara Wan Emril Nizam Wan Embong turut menyampaikan ucapan pada himpunan aman dan laporan Polis bagi membantah penerokaan tanah haram, memperkasakan jawi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara serta mengutuk tindakan menterbalikkan Jalur Gemilang bersama beberapa NGO di Taman Kerang, Kuantan, hari ini.

Menurut Muhammad Faiz, perkara itu berlaku di Seluruh Malaysia seolah-olah ada satu isyarat atau agenda daripada pihak tertentu yang boleh menganggu gugat keharmonian dan kedaulatan negara.

 

Beliau juga turut mempersoalkan tindakan pihak pekebun durian yang mengadakan demonstrasi baru baru ini menggunakan ‘banner’ tulisan dalam berbahasa Cina, sedangkan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara.

 

“Apa tujuan dan niat hati sebenar mereka? Mesej tersebut nak dihantar kepada siapa sebenarnya? Kami amat curiga dengan tindak tanduk yang amat halus ini.

 

“Bukan sahaja Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahkan juga tulisan jawi perlu diperkasakan bagi menjunjung titah KDYMM Tuanku Sultan Pahang sebagai satu budaya dan adat yang telah berabad lamanya diamalkan di negara ini,” katanya.

 

Gabungan NGO-NGO Pahang juga turut mendesak supaya tindakan tegas diambil segera supaya hak dan hasil bumi dapat dikembalikan kepada Kerajaan Pahang.

 

SUMBER -PAHANGMEDIA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor